Lagi ahli Bersatu keluar parti

Ahli Bersatu bahagian Kubang Pasu menurunkan bendera Bersatu di hadapan Dewan Pusat Khidmat Parlimen Bersatu sebagai simbolik meninggalkan parti berkenaan di sini hari ini.
Ahli Bersatu bahagian Kubang Pasu menurunkan bendera Bersatu di hadapan Dewan Pusat Khidmat Parlimen Bersatu sebagai simbolik meninggalkan parti berkenaan di sini hari ini.
A
A
A

JITRA - Seramai 2,454 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kubang Pasu mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Bendahari Bersatu Bahagian Kubang Pasu Tengku Anwar Tengku Daud berkata, turut bersamanya mengambil tindakan berkenaan ialah Naib Ketua Srikandi bahagian Zakiah Yaakob dan Ketua Penerangan Armada bahagian Mohd Saffiq Rodhi.

Katanya, daripada jumlah berkenaan seramai 25 daripada 35 ketua cawangan Bahagian berkenaan turut melepaskan jawatan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

"Kami mengambil tindakan ini kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu yang bertindak 'hijack' parti ini.

"Pemimpin asal termasuk Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipecat tanpa mengikut lunas-lunas Perlembagaan parti," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Pusat Khidmat Parlimen Bersatu di sini hari ini.

Menurutnya, mereka juga sebulat suara bersetuju untuk menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"Kami akan menyerahkan senarai nama dan juga surat peletakan jawatan ini kepada pejabat pusat parti serta salinannya kepada ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ).

"Kami juga yakin dalam masa terdekat ini 2/3 daripada 5,340 ahli bahagian ini akan turut mengikut jejak kami meninggalkan parti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jamani (tengah) bersama sebahagian ahli Bersatu Ampang yang mengumumkan keluar parti serta-merta.
Jamani (tengah) bersama sebahagian ahli Bersatu Ampang yang mengumumkan keluar parti serta-merta.

Sementara itu, di AMPANG, Seramai 200 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ampang mengumumkan keluar parti untuk menyertai parti baharu Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bekas Naib Pengerusi Bersatu Ampang, Jamani Derimin berkata, beliau mewakili ahli akar umbi mengambil keputusan itu berdasarkan situasi semasa politik dalam negara.

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat selepas tidak berpuas hati dengan pemecatan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama enam pemimpin lain tanpa sebarang sebab kukuh.

"Kami telah hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan Bersatu yang ada ketika ini kerana mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU14 (Pilihanraya Umum ke-14) yang lalu serta bersekongkol dengan pihak kleptokrasi

"Kami akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Dr Mahathir apabila parti baharu ditubuhkan kelak," katanya di Ara Event Hall Taman Putra Ampang malam tadi.

Menurutnya, gelombang keluar parti itu bakal berterusan termasuk pada Ahad ini dijangka akan terdapat pengumuman sama dilakukan.

Susulan penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir 7 Ogos lalu, pengumuman keluar parti secara besar-besaran oleh ahli Bersatu mula dilakukan antaranya dari Bersatu Klang, Shah Alam dan Kota Raja.

Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli.