MELAKA - Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan mengajak dan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu tirinya berusia 12 tahun 7 bulan, awal bulan ini. Tertuduh berusia 69 tahun dan tidak bekerja itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Norma Ismail selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan ke atasnya. Berdasarkan pertuduhan pertama, warga emas itu didakwa telah berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi 'WhatsApp' dengan niat mengajak kanak-kanak itu melakukan hubungan seksual, manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taman perumahan di negeri ini sekitar jam 4 hingga 6 petang, 8 Ogos 2020. Bagi kesalahan pertama, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 11(1) (a) dan Seksyen14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan pertama dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh. Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa termasuk mereka yang berkenaan sepanjang perbicaraan bermula hari ini. Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak sihat dan perlu mengambil beberapa jenis ubat termasuk penyakit asma dan kencing manis. Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes 15 September depan.