Pengacara didakwa hantar e-mel ugut bekas teman wanita

No Image Caption
A
A
A

SEORANG pengacara rancangan hiburan antarabangsa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas teman wanitanya dua tahun lalu.

Tertuduh, Joey James Ghazlan, 40, atau lebih dikenali sebagai Joey G bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, Joey G didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Patricia Sue Lin dengan cara menghantar e-mel ugutan dengan tujuan untuk menakutkan Patricia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit Kondominium di The Capers, Sentul di sini, jam 2.19 pagi pada 19 Mei 2018.

Oleh demikian, kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan tersebut tidak boleh jamin.

Wan Ahmad Hakimi selain itu berkata, terdapat kemungkinan tertuduh mengganggu saksi pendakwaan, pengadu dan keluarga.

Peguam K.Shalvin mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin termasuk akan mematuhi segala syarat yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Antara syaratnya ialah pasport milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis sekiranya tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua orang penjamin termasuk syarat tambahan pasport milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu pengadu dan keluarganya dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian kemudian menetapkan tarikh 17 September depan untuk sebutan semula kes.