700 ahli Bersatu Bahagian Pekan keluar parti

Raja Khairuddin (tengah) dan Tengku Zainul (dua dari kiri) membuang borang dan kad ahli Bersatu ke dalam tong sampah sebagai simbolik keluar parti.
Raja Khairuddin (tengah) dan Tengku Zainul (dua dari kiri) membuang borang dan kad ahli Bersatu ke dalam tong sampah sebagai simbolik keluar parti.
A
A
A

PEKAN - Seramai 700 daripada 900 ahli di 12 cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan mengumumkan keluar parti hari ini.

Ini menjadikan Bersatu Bahagian Pekan sebagai Bersatu Bahagian yang pertama di negeri ini lumpuh selepas hampir 85 peratus ahlinya meninggalkan parti itu serta-merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Setiausaha Pengelola Bersatu Pekan, Raja Khairuddin Raja Abdullah berkata, lapan daripada 10 Ahli Jawatankuasa Cawangan meletakkan jawatan bersama sembilan Ketua Cawangan.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Bersatu Mengkasar menegaskan, pemimpin akar umbi dan ahli mengisytiharkan bertindak keluar parti secara rela hati dan tanpa paksaan mana-mana pihak.

"Ini kerana kami tidak yakin kepada kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah terpesong jauh dari prinsip penubuhan asal.

"Namun apabila Bersatu sertai BN dan parti lain, kita rasa bersalah. Kita keluar dari Bersatu dan akan mengikut jejak Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin sebagai tanda sokongan dan setia," katanya pada sidang akhbar diadakan di Kelab Golf Diraja Pekan di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Zainul berkata, tindakan pemimpin atasan Bersatu bersekongkol dengan UMNO yang didakwa mengamalkan rasuah dan kleptokrasi menyebabkan ahli akar umbi hilang kepercayaan terhadap parti itu.

Oleh demikian katanya, beliau serta ahli-ahli Bersatu Bahagian Pekan yang mengumumkan keluar parti akan menyokong Parti Pejuang Tanah Air (PPTA) ditubuhkan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

"Parti PPTA ini akan meneruskan perjuangan menghapuskan rasuah dan kleptokrasi.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan jawatankuasa Bersatu Bahagian Pekan yang telah memberi sokongan padu dan kepercayaan kepada saya semasa masih Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan dan calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini," katanya.