Jurujual ditemui maut, ada kesan kelar di leher

Pasukan forensik tiba di lokasi kejadian di sebuah rumah di Bandar Amanjaya Zon Anggerik, Sungai Petani hari ini.
Pasukan forensik tiba di lokasi kejadian di sebuah rumah di Bandar Amanjaya Zon Anggerik, Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang jurujual wanita ditemui mati dengan kesan kelar pada leher serta muka ditekup dengan bantal dalam kejadian di Bandar Amanjaya di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, mangsa, Kuek Choo Hong, 61, ditemui terbaring atas katil dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dan muka ditutup dengan bantal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah bersama suaminya berumur 62 tahun, namun semasa kejadian suami mangsa tiada di rumah.

"Pada jam 1 petang, kakak bersama anak dan menantu mangsa ke lokasi kejadian bagi memastikan keadaannya setelah tidak datang bekerja semalam selain panggilan tidak dijawab.

"Apabila sampai, mereka mendapati pintu rumah berkunci mangga dari luar tetapi pendingin hawa masih dibuka.

"Apabila panggilan tidak disahut, kunci mangga dipecahkan sebelum mereka ternampak mangsa dalam keadaan kaku berlumuran darah," katanya di sini hari ini.

Lokasi kejadian di mana mangsa ditemui mati dengan kesan kelar pada leher.
Lokasi kejadian di mana mangsa ditemui mati dengan kesan kelar pada leher.

Beliau berkata, siasatan pihak forensik mendapati terdapat kesan kelar pada leher mangsa sepanjang kira-kira 12 sentimeter.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa dianggarkan sudah meninggal dunia melebihi tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemui.

"Maklumat jiran memberitahu kali terakhir ternampak suaminya dua hari lalu keluar rumah menggunakan kereta jenis Proton Iswara," katanya.

Difahamkan, mangsa dan suami berkahwin kira-kira 10 tahun lalu selepas suami mangsa yang pertama meninggal dunia.

Polis mendapati tiada kesan pecah rumah dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.