X

Kindly register in order to view this article
!

Palmerston 'bersara' tangkap tikus

Ramai bersedih atas 'persaraan' Palmerston dan pasti akan merinduinya.
A
A

LONDON - Setelah empat tahun berkhidmat di Pejabat Luar Negeri (FCO) United Kingdom, seekor kucing yang diberi nama Palmerston akhirnya secara rasmi 'bersara' daripada tugas menangkap tikus di sekitar pejabat untuk menghabiskan lebih banyak masa berehat.

Menerusi satu kenyataan daripada pejabat itu di Twitter @DiploMog, Palmerston kini suka berehat dan 'gembira' memanjat pokok daripada mendengar ucapan daripada orang kenamaan asing.

Memiliki lebih 111,000 pengikut di Twitter, kucing gemuk berbulu hitam dan putih dari Battersea itu mula bertugas pada 2016.

Palmerston dipilih daripada ratusan kucing jalanan lain yang ditempatkan di pusat perlindungan Battersea Dogs and Cats Home di barat daya London untuk membantu mengatasi masalah jumlah tikus yang banyak di bangunan FCO di King Charles Street, Downing Street.

Ketua pusat perlindungan Lindsey Quinlan memberitahu, Palmerston telah menjadi duta yang hebat untuk Battersea.

"Selama berkhidmat di Pejabat Luar Negeri, Palmerston telah membuktikan betapa hebatnya kucing jalanan dan kehadirannya ternyata membawa kegembiraan kepada orang ramai," katanya.

Diberi nama sempena nama Setiausaha Luar Negeri dan Perdana Menteri pada abad ke-19, Viscount Palmerston, kucing jinak ini sering dilihat dalam gambar bersama pegawai kerajaan dan duta asing.

Sehingga kini, ramai peminat Palmerston bersedih atas persaraannya kerana akan merinduinya namun ada juga yang gembira kerana pernah bertemunya dan berharap kucing itu terus sihat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!