X

Kindly register in order to view this article
!

Tingkat kualiti hidup veteran ATM

Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A

JABATAN Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan di bawah Kementerian Pertahanan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2000 sebagai pengiktirafan di atas pengorbanan veteran ATM.

Jabatan itu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan menguruskan kemudahan persaraan kepada anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan dalam ATM.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Rosalwani Che Soh bersama Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad mengenai peranan dan hala tuju jabatan itu dalam membela nasib Veteran ATM di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dapatkah Datuk jelaskan dengan lebih lanjut apakah peranan JHEV ATM?

DZULKARNAIN: Jabatan ini berperanan mewujudkan komuniti veteran ATM yang sejahtera dan cintakan negara selain memberi khidmat one stop centre yang cekap dan profesional kepada veteran ATM.

JHEV ATM juga menggubal dasar hal-hal berkaitan veteran ATM, menguruskan faedah persaraan dan kemudahan rawatan perubatan veteran ATM dan tanggungan yang layak serta merancang dan melaksanakan Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan JHEV ATM.

Ibu Pejabat JHEV ATM bertempat di Bangunan TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dan kami disokong oleh sembilan JHEV ATM cawangan negeri.

Siapakah yang dikategorikan sebagai veteran ATM?

Berdasarkan Seksyen 2, Akta Veteran 2012, veteran ATM ialah mereka yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang telah berkhidmat dalam pasukan keselamatan iaitu ATM, Pasukan Simpanan ATM yang dikerah sepenuh masa tanpa mengira tempoh khidmat, Force 136, Tentera British (British Army) yang berkhidmat di Malaysia/ Singapura dan Sarawak Rangers.

Secara amnya bekas anggota ATM yang telah tamat atau bersara daripada perkhidmatan adalah secara automatik diiktiraf sebagai veteran ATM namun anggota yang ditamatkan perkhidmatannya atas sebab salah laku dan tatatertib tidak diiktiraf sebagai veteran.

Berakhir Jun 2020, seramai 306,900 warga Veteran ATM yang berdaftar dengan pecahan 102,559 orang veteran berpencen (tidak termasuk penerima pencen terbitan seramai 23,946) dan 180,395 orang veteran tidak berpencen.

Majoriti veteran ATM menjadi ahli kepada persatuan-persatuan veteran yang berdaftar di bawah JHEV ATM. Akta Veteran 2012 menetapkan hanya persatuan yang berdaftar di bawah JHEV boleh melaksanakan aktiviti veteran.

Sehingga kini, sebanyak 482 persatuan berdaftar di bawah JHEV ATM yang terdiri daripada 132 persatuan induk dan 350 cawangan.

Apakah bantuan kebajikan yang disediakan untuk veteran ATM?

JHEV ATM menawarkan Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan untuk meringankan beban dan tanggungan veteran serta keluarga berdasarkan Paras Garis Kemiskinan (PGK).

Skim ini bersifat sementara sehingga taraf sosioekonomi veteran yang dibantu berada di atas PGK. Berakhir bulan Jun 2020 sejumlah RM11,548,743.90 telah dibelanjakan.

Boleh jelaskan mengenai skim bantuan yang disediakan?

Terdapat lima skim bantuan yang disediakan iaitu Bantuan Sara Hidup dan kadar bantuan maksimum sekeluarga sebanyak RM300 sebulan dan ia meliputi balu dan anak yatim kepada veteran ATM yang telah meninggal dunia.

Kedua ialah Bantuan Persekolahan dan kadarnya ialah RM500 setahun bagi sekolah rendah dan RM700 setahun bagi sekolah menengah dan Kolej Vokasional.

Bantuan kemasukan ke universiti awam (UA) atau politeknik merupakan skim ketiga dan kadar bantuan ialah RM1,000 bagi peringkat diploma dan RM1,500 untuk ijazah.

Skim seterusnya ialah Bantuan Peralatan Pesakit. Kadar bantuan maksimum di bawah skim ini adalah RM5,000 yang dibayar sekali gus.

Skim kelima merupakan Bantuan Bencana Alam dengan kadar maksimum sebanyak RM5,000 yang dibayar secara sekali gus. Kita juga menyediakan bantuan Khairat Kematian iaitu Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ) kepada Veteran ATM dan tanggungan yang layak dengan kadar RM3,000 untuk veteran dan RM1,500 bagi pasangan serta anak.

Apakah agenda kebajikan JHEV bagi tahun 2020?

Dalam meneruskan agenda menjaga kebajikan veteran dan tanggungannya, kita turut melaksanakan dua inisiatif pembayaran pada tahun ini iaitu pemberian Elaun Kenangan PJM secara one-off RM500 kepada 70,000 penerima pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan RM35 juta dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2020 sebanyak RM500 secara one-off kepada 179,198 veteran ATM tidak berpencen susulan pandemik koronavirus (Covid-19) dengan peruntukan RM89 juta.

Melalui Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM, pihak MAIWP akan membuat pembayaran zakat sebanyak RM1.8 juta yang akan diagihkan kepada 6,000 veteran ATM.

Di samping itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui JHEV ATM melaksanakan satu program kebajikan iaitu Program Cakna Veteran ATM di seluruh negara untuk terus membela dan menjaga kesejahteraan veteran ATM.

Apakah kemudahan perubatan yang ditawarkan?

Kemudahan perubatan yang disediakan adalah rawatan dialisis, rawatan di IJN, tuntutan perjalanan rawatan serta pembelian ubat dan peralatan pesakit. Pada akhir Jun 2020 sejumlah RM168,022.14 dibelanjakan untuk 71 kes perubatan yang diluluskan.

Peruntukan diperoleh daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Kementerian Pertahanan

bertanggungjawab terhadap kos rawatan Veteran Tidak Berpencen dan pembekalan ubat oleh Hospital Angkatan Tentera untuk rawatan Veteran Berpencen dan Veteran Tidak Berpencen.

Kementerian Kesihatan bertanggungjawab terhadap kos rawatan Veteran Berpencen. Tiga pusat dialisis kepunyaan Yayasan Veteran ATM terletak di Seri Kembangan, Batu Caves dan Rawang. JHEV ATM bekerjasama dengan 367 pusat dialisis swasta bagi memberikan perkhidmatan dialisis kepada veteran ATM dengan kos dibiayai pihak JHEV ATM.

Apakah harapan JHEV ATM dalam menyantuni kebajikan veteran ATM?

JHEV ATM berharap dapat meningkatkan sosioekonomi veteran ATM melalui inisiatif kolaborasi strategik industri pekerjaan, memperkasakan kursus atau latihan peralihan dan kemudahan platform digital for business opportunities IR 4.0.

Kita mahu menambah baik pengurusan bantuan iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan IPTA/IPTS/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam, Bantuan Mengurus Jenazah dan Bantuan Penjagaan Veteran/Tanggungan Terlantar.

Kita juga mengharapkan peningkatan kualiti hidup melalui inisiatif Kempen Tabung Pahlawan, Pembiayaan Persatuan Veteran, Bantuan Khas Kewangan (BKK), Perkhidmatan dan Pengurusan Kesihatan menyeluruh di bawah JHEV ATM serta Perumahan Veteran ATM (kerajaan dan swasta) selain pengiktirafan jasa pejuang negara melalui inisiatif Tokoh Veteran ATM, Kuota Haji, Penganugerahan PJM, Pemberian pre allowance PJM dan Elaun Kenangan PJM (bulanan).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!