X

Kindly register in order to view this article
!

Prasarana pandang serius isu cabul, sedia beri kerjasama penuh

Laporan Sinar Harian berkaitan kes seorang remaja perempuan dipercayai dicabul polis bantuan.
A
A

PETALING JAYA - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung seorang anggota Polis Bantuan Prasarana yang ditahan atas dakwaan mencabul seorang pelajar perempuan dalam kejadian Khamis lalu.

Prasarana dalam satu kenyataan hari ini berkata, anggota berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya tengah hari semalam bagi memberi keterangan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Kenyataan itu menyebut, Prasarana juga akan menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut.

"Kami memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau melakukan jenayah," menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan dakwa dicabul polis bantuan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 19 tahun mendakwa dicabul suspek berusia 36 tahun sewaktu berada Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Petaling Jaya.

Menurutnya, mangsa yang bersendirian ketika kejadian telah didatangi suspek yang mempelawa untuk menemaninya atas faktor keselamatan sebelum mengajak mangsa untuk duduk di tangga stesen berkenaan.

"Suspek dikatakan memaksa mangsa untuk bersalam tangan dan turut bertindak menyentuh bahagian dada mangsa.

"Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek bertindak melarikan diri sebelum menceritakan kejadian tersebut kepada keluarganya selepas tiba di rumah," katanya.

Beliau berkata, suspek ditangkap semalam dan ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

"Jika sabit salah suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku ada bertemu dengan mangsa pada masa dan lokasi kejadian namun menafikan telah mencabul mangsa, " katanya.