Kaji semula SOP di lapangan terbang, sekolah

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Prosedur operasi standard (SOP) di lapangan terbang dan sekolah perlu dikaji semula termasuk menyelaras penggunaan aplikasi MySejahtera.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, langkah itu perlu diberi perhatian sekiranya kerajaan mahu memperketatkan semula SOP berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, SOP di pintu masuk negara ketika ini kelihatan longgar sehingga terdapat pihak yang dilihat mengambil sikap sambil lewa dengan SOP ditetapkan.

Malah, katanya, perlu ada tindakan lebih keras terhadap mereka yang tidak mengendahkan keperluan memakai gelang berwarna merah jambu selepas menjalani pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sama ada dikenakan tindakan denda lebih keras atau mungkin perlu ada satu sistem di mana setiap gelang disediakan mempunyai kod tersendiri dengan capaian maklumatnya lebih mudah untuk disampaikan kepada agensi pihak berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: SOP PKPP diketatkan semula: Ismail Sabri

"Penambahbaikan juga amat perlu agar orang ramai tidak mengambil lewa peraturan itu," katanya.

Beliau berkata, kemungkinan terdapat kelompangan dari segi komunikasi menyebabkan ada yang tidak mengambil serius mengenai pemakaian gelang yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, SOP di sekolah juga perlu dikaji semula berikutan terdapat kebimbangan timbul daripada ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka sehingga ada yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi membabitkan beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur menunjukkan lebih kurang 20 hingga 30 peratus pelajar sekolah tidak hadir ke sekolah.

Selain itu, Fahmi berkata, aplikasi yang digunakan untuk memantau pergerakan orang ramai juga perlu diperketatkan.

“Di Selangor contohnya, aplikasi 'Selangkah' yang dibangunkan kerajaan Selangor sudah mula ditambah baik. Saya rasa aplikasi MySejahtera dan yang lain juga perlu penyelarasan.

“Kalau kita masuk dalam aplikasi 'Selangkah; kini, akan ada beberapa soalan menjadikan kita sebagai pembantu untuk membuat 'sport check'.

“Antara soalan ditanya ialah berapa ramai orang yang kita lihat pakai pelitup muka. Jadi, ini satu perkara yang agak menarik iaitu penambahbaikan yang positif,” katanya.