Balu Abam Bocey kumpul duit berniaga cempedak di tepi jalan

Siti Nurhidayah (kiri) bersama Nor Farhana mula berniaga cempedak goreng di tepi jalan di Pekan Sabak.
Siti Nurhidayah (kiri) bersama Nor Farhana mula berniaga cempedak goreng di tepi jalan di Pekan Sabak.
A
A
A

SABAK BERNAM - Isteri kepada pelawak Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan atau Abam Bocey mengusahakan gerai cempedak goreng tepi jalan bagi mengumpul duit untuk membuka sebuah kedai makan.

Siti Nurhidayah Mohd Ali, 28, berkata, hasrat membuka kedai makan yang menyediakan makanan panas itu pernah disuarakan Allahyarham suaminya semasa masih hidup.

Bagaimanapun, katanya, hasrat itu tertangguh kerana anak mereka, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey ketika itu masih bayi.

"Arwah memang merancang hendak membuka sebuah kedai makan tapi hasratnya tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu menemui Ilahi.

"Saya berusaha sedikit demi sedikit mengumpul duit dan kudrat yang ada untuk merealisasikan hasrat arwah suami dan seterusnya mengembangkan perniagaan kami," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurut Siti Nurhidayah, dia yang berniaga cempedak di sebuah gerai di Pekan Sabak di sini sejak awal bulan lalu disebabkan ingin menyara anak sulungnya itu yang berusia setahun.

"Masa mula berniaga dulu timbul juga perasaan malu, tapi semua itu saya ketepikan kerana saya mencari rezeki halal untuk membesarkan anak kami. Malah saya tidak menghiraukan apa jua tanggapan masyarakat," katanya.

Mengulas mengenai idea membuka gerai menjual cempedak goreng, Siti Nurhidayah berkata, semua itu berlaku tanpa dirancang apabila membantu bapanya, Mohd Ali Bahtin, 70, berniaga di tapak sama menjual durian.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kami hanya goreng cempedak di gerai ayah untuk makan keluarga, tapi kebetulan ramai pula pelanggan yang ingin membeli seterusnya mendapat permintaan tinggi," katanya.

Justeru, katanya, dia dan adik iparnya, Nor Farhana Nordin, 21, tekad menjual cempedak goreng yang beroperasi dari jam 11 pagi hingga 6 petang dengan purata jualan sebanyak 50 kilogram cempedak habis setiap hari.

"Istimewanya cempedak ini ialah adunan tepung yang kami hasilkan ini mempunyai rasa yang rangup dan sedap dimakan selain isi cempedak madu yang manis," katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidiladha tidak lama lagi, Siti Nurhidayah berkata, memandangkan sibuk berniaga, dia hanya mengutamakan keperluan anaknya terlebih dahulu.

"Saya sudah membeli baju dan kasut tapi semuanya untuk anak memandangkan ini kali pertama dia menyambut Aidiladha," katanya.