Kelantan, Sarawak United dah tak 'sangkut'

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

Kelantan dan Sarawak United melengkapkan senarai 24 pasukan yang mendapat kelulusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memulakan sesi latihan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan kembali berlangsung mulai 26 Ogos depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, kedua-dua pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu dibenarkan berlatih selepas melengkapkan kesemua dokumen permohonan seperti ditetapkan badan pentadbir Liga-M berkenaan.

“Alhamdulillah, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sudah pun menghantar borang permohonan yang lengkap untuk memulakan sesi latihan.

“Sebenarnya pihak pengurusan kedua-dua pasukan terbabit sudah pun menghantar borang permohonan masing-masing sebelum ini, namun MFL tidak dapat meluluskannya disebabkan masih terdapat beberapa perkara yang tidak lengkap.

“Jadi apabila mereka menghantar semula permohonan baharu yang lengkap dan setelah kami semak serta dapati semua mengikut yang diarahkan, tidak menjadi masalah untuk MFL meluluskannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Ab Ghani sekali lagi mengingatkan kepada semua pemain, jurulatih, pengurus dan pegawai pasukan untuk mengekalkan tahap disiplin tinggi dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan MFL.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak dalam mematuhi SOP pada sesi latihan Fasa Satu menyebabkan usaha MFL mendapat kebenaran daripada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk sesi latihan Fasa Dua menjadi lebih mudah.

“Pihak berwajib memantau pasukan Liga-M yang berlatih semasa sesi latihan Fasa Satu tempoh hari dan pasukan-pasukan menunjukkan tahap disiplin tinggi terhadap pematuhan SOP, jadi mudah untuk MFL mengemukakan permohonan latihan Fasa Dua.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya minta semua pemain, jurulatih, pengurus dan pegawai pasukan Liga-M, jangan pecahkan tradisi latihan Fasa Satu kita sebelum ini, sebaliknya kekalkan tahap disiplin tinggi sedia ada pada Fasa Dua ini.

“Tingkatkan tahap disiplin dalam pematuhan SOP tidak hanya di padang tetapi juga di luar padang. Kita kena bersama-sama menjaga keselamatan dan kesihatan walau di mana saja kita berada,” jelasnya.