Timbalan Presiden Maba menang tanpa bertanding jawatan presiden

Tan Kang Yong (kanan) dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) bagi penggal 2020-2024. - Foto FB Malaysia Basketball Association
Tan Kang Yong (kanan) dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) bagi penggal 2020-2024. - Foto FB Malaysia Basketball Association
A
A
A

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Datuk Tan Kang Yong dipilih sebagai Presiden baharu persatuan berkenaan bagi penggal 2020-2024.

Beliau yang merupakan Timbalan Presiden Maba sejak 2016 menang tanpa bertanding setelah penyandang Presiden, Datuk Lua Choon Hann mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Maba yang diadakan di Wisma Maba di sini hari ini.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang, Datuk Ooi Khoon Yeong pula dipilih sebagai Timbalan Presiden Maba yang baharu menerusi undian yang diputuskan oleh perwakilan daripada 18 ahli gabungan Maba.

Bercakap pada sidang akhbar, Kang Yong berterima kasih kepada perwakilan negeri dan kelab yang memberi sokongan kepada beliau bagi menerajui Maba bagi tempoh empat tahun.

Kang Yong yang merupakan Presiden Persatuan Bola Keranjang Melaka memaklumkan tugas utama kepimpinan baharu Maba adalah untuk membantu meningkatkan kembali prestasi skuad bola keranjang kebangsaan yang mempamerkan aksi hambar pada beberapa edisi Sukan SEA lepas.

“Fokus kami adalah membantu skuad wanita 3x3 dan 5x5 mendapatkan kembali pingat emas yang pernah diraih pada Sukan SEA sebelum ini.

“Pencapaian skuad bola keranjang (lelaki) negara agak merosot sejak dua tahun ini, sebab itu saya dan kepimpinan baharu Maba bertekad untuk meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa,” jelas Kang Yong.

Beliau memaklumkan keputusan berhubung penganjuran kejohanan tempatan pada tahun ini termasuk edisi ke-62 Piala Agong yang sebelum ini dijadual pada awal tahun, akan dibincangkan dengan kepimpinan Maba.

Artikel Berkaitan:

Saingan Piala Agong yang diadakan sejak 1958 terpaksa dibatalkan pada tahun ini susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Senarai penuh kepimpinan Maba penggal 2020-2024:

Presiden: Datuk Tan Kang Yong

Timbalan Presiden: Datuk Ooi Khoon Yeong

Naib Presiden: Datuk Lee Yuen Fong, Datuk Lee Cheng Chuan, Datuk Lim Chong Ly, Poh Thiam Kar, Phan Chee Yong, Leong Nyuk On, Datuk Bruce Lim Cheng Nyok, Andrew Heng

Setiausaha Agung: Tong See Koou

Timbalan Setiausaha Agung: Prof Dr Teng Tjoon Tow

Pembantu Setiausaha: Datuk Ng Choon Koon

Bendahari Kehormat: Datuk Seri Victor Chen Wee Tuck

Timbalan Bendahari Kehormat: Ooi Siong Hwa

- Bernama