Program baharu mirip PLKN sedang dimuktamadkan

Pemakaian pangkat dan watikah pelantikan pegawai APM Mejar Bersekutu, Datuk Mohd Azizi Abu Naim (tengah) yang disempurnakan Mohd Redzuan (tiga dari kiri).
Pemakaian pangkat dan watikah pelantikan pegawai APM Mejar Bersekutu, Datuk Mohd Azizi Abu Naim (tengah) yang disempurnakan Mohd Redzuan (tiga dari kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan mewujudkan program baharu yang memfokuskan kepada pengukuhan semangat patriotisme dan perpaduan antara kaum dalam kalangan rakyat di negara ini.

Program tersebut mirip Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang ditambah baik dari segi modulnya bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, struktur baharu bagi program berkenaan sedang dimuktamadkan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi.

Menurutnya, kerajaan juga sedang memuktamadkan sama ada program berkenaan akan diwajibkan kepada semua atau wakil daripada institusi sahaja.

"Sukatan latihan program berkenaan juga belum dimuktamadkan.

“Saya berharap pengisian bagi program dapat dibentangkan sebelum Dewan Rakyat berakhir supaya kita boleh menjawab apa yang dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang) di Hotel Perdana di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis berkenaan seramai 12 pegawai APM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan 14 pegawai menerima watikah pelantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.

Mohd Redzuan berkata, program baharu akan menggabungkan sukatan dan latihan yang diterapkan di dalam PLKN dan BTN, membabitkan modul patriotisme, Perlembagaan Persekutuan, kenegaraan dan penyatuan kaum.

“Kita lebih kepada membina semangat patriotisme. Lebih kepada mahu mewujudkan semua kaum yang bersatu padu di negara kita ini, menerusi Perlembagaan dan Rukun Negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika berucap di Dewan Rakyat memohon agar kerajaan menghidupkan kembali program dan agensi kerajaan yang dimansuhkan kerajaan terdahulu, seperti PLKN, BTN dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).