Belanjawan 2021 tekankan pendekatan ubah suai dasar, inisiatif

Mohamed Azmin menunjukkan isyarat bagus pada Majlis penyerahan Sijil ISO 37001:2016: Sistem Pengurusan Anti Rasuah di Menara MITI. -Foto Bernama
Mohamed Azmin menunjukkan isyarat bagus pada Majlis penyerahan Sijil ISO 37001:2016: Sistem Pengurusan Anti Rasuah di Menara MITI. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini akan menekankan pendekatan pengubahsuaian dasar serta inisiatif kerajaan agar selari dengan cabaran mengharungi pasca pandemik Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tumpuan utama belanjawan itu adalah menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Sudah tentu dengan pasca Covid-19, cabarannya berbeza kerana ia memberi satu pendekatan kepada kita bagaimana untuk mengubah suai semua polisi dan inisiatif supaya selari dengan cabaran tersebut,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis penyerahan Sijil Piawaian Antarabangsa ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Mohamed Azmin menyaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Bhd, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani menyampaikan sijil tersebut kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob.

Semalam Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Belanjawan 2021 akan meliputi empat tema utama iaitu mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.- Bernama

Artikel Berkaitan: