Mohd Shukri jual aset digital untuk bertanding

Mohd Shukri ketika menemui pengundi di DUN Chini.
Mohd Shukri ketika menemui pengundi di DUN Chini.
A
A
A

PEKAN - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Shukri Mohd Ramli sanggup menjual aset digital semata-mata untuk bertanding.

Mohd Shukri berkata, beliau menyertai aktiviti melombong mata wang kripto sejak tahun 2013 dan mula meraih hasilnya bermula tahun 2018.

Menurutnya, hasil daripada aktiviti tersebut beliau telah berjaya membeli dan mengumpul beberapa aset yang masih digunakan sehingga hari ini.

"Harga terkini satu mata wang dapatlah lebih kurang RM40,000. Mata wang digital ini boleh jual sikit-sikit jadi untuk masuk PRK ini saya menjual sebanyak 0.1 hingga 0.2 daripada nilai satu mata wang iaitu sekitar RM8,000," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Shukri berkata, beliau mula aktif dalam dunia siber sebagai penulis blog dan mula menjana pendapatan melalui pengiklanan digital.

Bekas Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa Negeri Pahang ini tidak kesal berhenti kerja pada 1 Oktober 2003 kerana melihat potensi besar menerusi platform maya.

Selain memperoleh pendapatan menerusi mata wang digital dan penulisan blog serta iklan digital, Mohd Shukri juga bakal melancarkan Radio Digital rakyat Chini, Ceni FM bulan hadapan.

Artikel Berkaitan: