X

Kindly register in order to view this article
!

Seorang lelaki ditahan berhubung kes rogol wanita warga Nigeria

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan yang sebelum ini ditahan kerana didakwa mencederakan wanita warganegara Nigeria, ditahan sekali lagi atas dakwaan merogol wanita berkenaan di sebuah rumah di Cheras, di sini.

Lelaki berusia 44 tahun itu bersama dua lagi suspek lelaki sebelum ini ditahan pada 4 Jun atas dakwaan pertama, telah dilepaskan pada 9 Jun dengan jaminan polis selepas permohonan untuk menyambung reman mereka ditolak.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bertindak di atas laporan kedua mangsa berusia 30 tahun itu, salah seorang suspek ditahan semula dan direman enam hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis sedang mengesan tiga lagi suspek lelaki dalam kes ini, namun tidak menjelaskan sama ada antara mereka adalah suspek sama ditahan sebelum ini.

“Pada 9 Jun, setelah selesai memberi keterangan berkaitan kes pukul, wanita berkenaan telah membuat laporan polis mengenai kejadian rogol yang berlaku pada hari yang sama beliau dipukul.

"Pada awalnya, mangsa tidak mahu memanjangkan kes rogol dan enggan membuat pemeriksaan di hospital namun wanita itu membuat laporan polis kedua setelah ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama tiga hari dan dinasihatkan oleh polis supaya membuat laporan berkaitan kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa polis menahan mangsa, sebaliknya melepaskan beberapa suspek yang didakwa merogolnya.

Mengulas lanjut mengenainya, Mazlan berkata, wanita warga Nigeria itu sebenarnya ditahan bermula 10 Jun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Penjara Kajang.

"Wanita itu ditempatkan di Penjara Kajang sehingga siasatan kes rogol selesai.

"Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak sahih serta sentiasa menyemak sebarang maklumat yang diperoleh," katanya. - Bernama