Angkasa sasar buka 16 kedai Coop farmasi

Jaringan Coop Farmasi adalah inisiatif Angkasa dalam menyediakan akses kesihatan kepada anggota koperasi dan masyarakat.
Jaringan Coop Farmasi adalah inisiatif Angkasa dalam menyediakan akses kesihatan kepada anggota koperasi dan masyarakat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyasarkan untuk membuka 16 buah kedai Coop Farmasi di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, jaringan Coop Farmasi di bawah projek perniagaan Pharma Wellness Angkasa adalah inisiatif Angkasa dalam menyediakan akses kesihatan kepada anggota koperasi dan masyarakat serta bertindak sebagai hub pembekalan barangan farmasi kepada farmasi milik koperasi yang lain.

“Coop Farmasi turut menyediakan khidmat konsultasi perubatan, pemborongan barangan kesihatan dan pembelian secara dalam talian serta memberi peluang meningkatkan peletakan produk farmaseutikal berstatus halal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan cawangan Coop Farmasi Bandar Indera Mahkota hari ini dan Coop Farmasi yang pertama dibuka di Bentong, Pahang pada 29 November 2019.

“Pembukaan Coop Farmasi kedua ini bertepatan dengan keadaan semasa negara apabila aspek kesihatan menjadi keutamaan dan norma baharu bagi rakyat Malaysia dalam mendepani wabak Covid-19,” katanya.

Coop Farmasi Bandar Indera Mahkota menawarkan lebih 1,400 unit penyimpanan stok (SKU) antaranya makanan tambahan, produk penjagaan diri, alatan kosmetik dan peralatan perubatan.

Coop Farmasi turut menawarkan potongan harga sebanyak 10 peratus diskaun kepada mereka yang mendaftar menjadi ahli dan tambahan sebanyak lima peratus untuk ahli koperasi.

Coop Farmasi menawarkan cabang perniagaan baharu kepada sektor koperasi dalam bidang kesihatan di samping memperkukuh rangkaian perniagaan koperasi yang sedia ada dalam industri farmaseutikal.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif ini membuka peluang kepada pembangunan produk penjagaan diri dan kesihatan yang dihasilkan koperasi.

Angkasa menawarkan peluang perniagaan kepada koperasi yang berminat, peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dan kerjasama dengan rangkaian Koperasi Farmasi yang sedia ada.

Angkasa yang menaungi 14,625 koperasi di seluruh negara menyasarkan jaringan Coop Farmasi akan merancakkan industri farmasi bagi menyediakan akses kepada anggota koperasi dan seluruh rakyat Malaysia bagi menikmati pilihan yang terbaik dari segi harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang berkualiti. - Bernama