Tanding calon Bebas, keahlian Bersatu Tengku Zainul Hisham terhenti serta-merta

Tengku Zainul Hisham
Tengku Zainul Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan keahlian Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin terhenti serta-merta berikutan tindakan beliau bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tanpa kebenaran parti.

Menurut laporan Free Malaysia Today, perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya kepada Tengku Zainul Hisham menerusi sepucuk surat seperti yang dilihat portal berita tersebut.

Berdasarkan surat itu, keahlian Tengku Zainul Hisham yang juga Timbalan Ketua Bersatu, Pekan terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 Perlembagaan parti.

"Pada 20 Jun, Datuk (Tengku Zainul Hisham) didapati mengemukakan borang penamaan calon dalam Pilihan Raya Kecil N23 Chini sebagai calon bebas tanpa kebenaran Bersatu,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Terdahulu, PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zin dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Zainul Hisham sendiri.

PRK DUN Chini diadakan selepas kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun daripada BN akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Artikel Berkaitan: