Umno Johor terbuka terima semula keahlian

Samsolbari (tengah) pada sidang media semasa menghadiri Program Revolusi Minda Anak Bangsa, di sini, hari ini.
Samsolbari (tengah) pada sidang media semasa menghadiri Program Revolusi Minda Anak Bangsa, di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Umno Johor tidak mempunyai masalah untuk menerima permohonan semula keahlian meskipun ia melibatkan individu yang mengambil keputusan meninggalkan parti baru-baru ini.

Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, Umno selama ini juga tidak membuang mana-mana pihak selain sentiasa mengamalkan konsep keterbukaan dalam apa juga tindakan dipilih.

“Saya nak tekankan (Umno Johor) mengambil sikap terbuka, kita tidak buang mana-mana (individu), kita juga memberi kebebasan untuk ahli menilai mana yang baik dan tidak baik.

“Saya rasa kita terbuka dalam hal ini. Kita akan membawa kepada pihak kepimpinan melihat semula dan memutuskan di masa hadapan. Tetapi di peringkat awal, perkara ini kita memang tidak halangan.

“Sekarang ini pun, memohon semula ahli Umno sudah boleh diuruskan di peringkat bahagian, ia lebih memudahkan,” katanya pada sidang media semasa menghadiri Program Revolusi Minda Anak Bangsa, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan enam Ahli Parlimen termasuk salah seorangnya dari Johor yang dilaporkan mahu kembali menyertai Umno selepas meninggalkan parti itu, Disember lalu.

Bagaimanapun, Samsolbari berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan semula atau surat rasmi daripada Ahli Parlimen Johor tersebut.

“Belum lagi terima, tapi bagaimanapun berkenaan perkara ini kita tidak halau dan kutuk, ia terbuka kerana semua ini adalah untuk kebaikan bersama.

Artikel Berkaitan:

“Ada banyak alasan pergi dan banyak juga alasan nak kembali, cuma yang pasti kita sama dalam Umno sudah lama dan faham ideologi parti ini sejak dahulu.

"Apa pun, secara jelasnya, mereka (lompat parti) ini tidak boleh menafikan peranan Umno dan tipu diri sendiri mengenai apa jasa parti ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan enam Ahli Parlimen BN yang mengumumkan keluar Umno bulan lepas dikatakan mahu membuat pusingan-U dan memohon untuk kembali menjadi ahli Umno.

Difahamkan, mereka ingin kembali semula ke dalam Umno setelah menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka yang dibuat akhir bulan lepas.

Sumber parti memberitahu terdapat perbincangan antara mereka dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat Parti, Tengku Razaleigh Hamzah.