Pemasang jubin dituduh miliki empat cek palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemasang jubin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki empat keping cek yang dipalsukan berjumlah RM195,328 empat tahun lalu.

Tertuduh, Loo Chee Huoong, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki empat keping cek bertarikh 3 Mei 2016 yang dipalsukan milik syarikat Nippon Wiper Blade (M) Sdn Bhd berjumlah RM45,328 dan tiga keping cek masing-masing berjumlah RM50,000 yang dibayar kepadanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Dato Tunggal, Seremban pada pukul 12 tengah hari, 6 Mei 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur’atiqah Sapari tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan jaminan rendah memandangkan dia tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Chee Huoong diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: