Harimau Kumbang minat Zafuan tapi...

Zafuan (dua, kanan) turut diturunkan oleh Pulau Pinang untuk diuji bertemu PKNP FC di Stadium Batu Kawan, semalam. - Foto FAP
Zafuan (dua, kanan) turut diturunkan oleh Pulau Pinang untuk diuji bertemu PKNP FC di Stadium Batu Kawan, semalam. - Foto FAP
A
A
A

HARIMAU Kumbang berminat untuk mendapatkan bekas penyerang Kedah, Zafuan Azeman bagi memperkukuhkan jentera depan pasukan tersebut untuk menghadapi saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) hanya akan serius mendapatkan pemain tersebut jika beliau sah tidak terikat dengan mana-mana pasukan kerana diumumkan sebagai penyerang Singa Utara oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dalam satu majlis pada 4 Januari lalu.

Pengurus FAP, Ong Heng Hua berkata, pasukan tersebut masih memerlukan pemain di posisi berkenaan kerana setakat ini mereka hanya mempunyai dua penyerang import iaitu Ndumba Makeche dan Julian Bottaro untuk merobek gawang lawan.

"Zafuan hadir untuk pemilihan dahulu dan beliau diturunkan pada perlawanan menentang PKNP semalam untuk dinilai oleh jurulatih. Beliau masih belum tandatangan kontrak dengan kami.

"Beliau perlu memastikan bahawa dirinya tidak terikat dengan mana-mana pasukan terlebih dahulu barulah akan dipertimbangkan oleh pengurusan Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi bagi mengulas kelibat Zafuan yang turun berlatih dengan pasukannya.

Pada perlawanan tersebut skuad Ahmad Yusof itu berjaya menjinakkan PKNP FC 1-0 hasil jaringan Dhiyaulrahman Hasry pada minit ke-39 pada aksi persahabatan pramusim 2019.

Menurutnya, difahamkan Zafuan masih belum menandatangi kontrak dengan Singa Utara namun FAP tidak mahu terburu-buru kerana enggan perkara tersebut memasuki kemelut baharu.

Dalam pada itu, Heng Hua berkata, Harimau Kumbang masih lagi mencari penyerang tempatan dan bekas penyerang Selangor, Afiq Azmi yang juga dalam pemantauan pasukan kejurulatihannya selain khidmat Zafuan.

Artikel Berkaitan:

"Jentera serangan Pulau Pinang semakin bertambah baik sepanjang aksi persahabatan pramusim 2019 namun dengan kemasukkan Zafuan, dia mampu menjadi pilihan utama selepas Makeche dan Bottaro jika mereka ditimpa kecederaan.

"Selain itu, Afiq pula kini masih dalam proses untuk tingkatkan kembali kecergasan kerana pada tahun lalu dia tidak beraksi dengan mana-mana pasukan pada Liga Malaysia akibat kecederaan,"katanya lagi.

Setakat semalam, penyokong Perlis dan Pulau Pinang hairan dengan status pemain tersebut kerana setakat ini PFA belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.