Rumah dimamah anai-anai tunggu masa runtuh

Rumah usang milik Norhasirah (dua dari kanan) dan suaminya ditimpa pokok kekabu dalam kejadian ribut.
Rumah usang milik Norhasirah (dua dari kanan) dan suaminya ditimpa pokok kekabu dalam kejadian ribut.
A
A
A

BACHOK - Sebuah rumah yang menjadi tempat berlindung buat sepasang suami isteri bersama tiga anak di Kampung Telaga Ara, Gunong di sini hanya menunggu masa 'menyembah bumi' selepas lebih 80 peratus strukturnya reput dimakan anai-anai.

Tidak cukup dengan itu, keluarga berkenaan turut dirundung malang apabila rumahnya di bahagian dapat runtuh dihempap sebatang pokok kekabu selepas dipukul ribut dalam kejadian pada 6 Jun lalu.

Norhasirah Che Par, 31, berkata, sungguhpun kerangka rumah pusaka tinggalan orang tua itu sudah tidak kukuh namun dia dan suami, Nur Mohd Asri Mohd Zulkipli, 30, serta tiga anak tiada pilihan lain selain menetap di situ.

"Inilah satu-satunya pilihan yang ada buat kami semua. Walaupun sudah uzur, sekurang-kurangnya kami ada tempat untuk berteduh," katanya.

Kelab Volunteer i-Care (Vi-C) menghulurkan sumbangan 3,000 batu-bata, simen dan besi bagi membaik pulih bahagian dapur rumah yang runtuh dipukul ribut.
Kelab Volunteer i-Care (Vi-C) menghulurkan sumbangan 3,000 batu-bata, simen dan besi bagi membaik pulih bahagian dapur rumah yang runtuh dipukul ribut.

Menurutnya, dia dan suami mengimpikan sebuah kediaman lebih sempurna namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut buat sementara waktu ekoran masalah kewangan.

"Suami bekerja sebagai buruh penurap jalan dan pendapatannya tidak menentu tidak memungkinkan kami untuk membina sebuah rumah baharu lagipun ia memerlukan modal yang agak besar.

"Walaupun saya mempunyai gerai menjual air kelapa namun ia hanya cukup untuk menampung perbelanjaan kami anak-beranak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Norhasirah dan keluarga menerima kunjungan dari Kelab Volunteer i-Care (Vi-C) yang diwakili oleh bendahari, Saripah Ismail.

Dalam kunjungan itu, pihak Vi-C menghulurkan sumbangan peralatan melibatkan 3,000 batu-bata, simen serta besi bagi membaik pulih bahagian dapur rumah yang runtuh dipukul ribut.