Dituduh semula rogol kawan kekasih selepas lapan tahun bebas

Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu
Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol rakan kekasihnya selepas dilepaskan tanpa dibebaskan lapan tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Al Faiz Nawi, 30, dari Kampung Duyung Besar, di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Al Faiz didakwa merogol mangsa ketika itu berusia 18 tahun di sebuah bengkel mencuci kereta di Kampung Padang Midin, di sini, jam lebih kurang 12.01 pagi, pada 29 Mac 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1)Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Wan Amira Ruziani Wan Abdul Razak di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala tertuduh diwakili peguam bela, Che Amir Che Musa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada 2015, tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan berikutan saksi gagal hadir pada perbicaraan kes itu tetapi dituduh semula hari ini kerana kes belum selesai.

Artikel Berkaitan: