Kerajaan Arab Saudi mungkin benarkan ibadah haji skala kecil

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Arab Saudi dijangka tidak akan membatalkan terus musim ibadah haji pada tahun ini sebaliknya meneruskan dalam skala jemaah yang kecil.

Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Arab Saudi kini berada dalam dilema kerana pada saat mereka sedang cuba mempelbagaikan sumber pendapatan negara dengan menumpukan kepada pelancongan serta ibadah haji, berlaku pula ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, Arab Saudi dilihat akan terus menerima impak besar sekiranya membuat keputusan membatalkan ibadah haji pada tahun ini.

Ini kerana, katanya, semua model perniagaan seperti perhotelan, pengangkutan dan makanan menyumbang kepada pendapatan yang diperoleh semasa tempoh musim haji dan ia mampu menampung kos operasi sepanjang tahun negara tersebut.

“Saya percaya mereka tidak akan batalkan musim haji tetapi akan membenarkan aktiviti itu dilaksanakan dalam jumlah sedikit serta terkawal.

“Namun terdapat persoalan lain, sekiranya ibadah haji itu dibenarkan dalam skala kecil, banyak negara telah menyatakan pendirian untuk tidak menghantar jemaah menunaikan ibadah itu pada tahun ini termasuk Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membatalkan musim haji buat pertama kalinya sejak penubuhan kerajaan itu pada 1932 susulan peningkatan kes Covid-19.

Difahamkan, kerajaan Arab Saudi akan mengumumkan keputusan rasmi mengenai hal itu dalam tempoh seminggu.

Artikel Berkaitan: