MRSC Langkawi, TLDM sertai SAR

Operasi SAR dimulakan seawal jam 7 pagi tadi.
Operasi SAR dimulakan seawal jam 7 pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Pusat Menyelamat Maritim MRSC Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sebuah kereta SUV Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan, awal pagi semalam.

Koordinatornya, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, sepasukan MRSC Langkawi telah bersama-sama pasukan penyelamat lain bagi mencari kereta berwarna putih tersebut.

Menurutnya, antara aset yang digunakan adalah bot kilat dari Maritim Perak dengan kekuatan 14 penyelam termasuk enam penyelam daripada Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.

"Kami bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dikerahkan ke tempat kejadian bagi misi mencari dan menyelamat mangsa yang disyaki masih terperangkap dalam kereta berkenaan.

"Sementara itu, pasukan penyelam TLDM akan turut menyertai operasi SAR dengan kekuatan satu pasukan penyelam KD Duyong seramai sembilan orang. Sebuah bot digunakan yang dibantu oleh Pasukan Simpanan Sukarela TLDM KD Perantau dari Pangkalan TLDM Lumut," katanya menerusi kenyataan media tadi.

Tambahnya, Pasukan Polis Marin turut menggunakan dua buah bot manakala JBPM menggunakan dua bot aluminium.

"Operasi disambung hari ini pada jam 7 pagi dengan sektor pencarian dibahagikan kepada empat berdasarkan aset-aset yang terlibat. Kawasan pencarian merangkumi dua batu nautika radius dari lokasi kejadian.

"Orang awam diminta melaporkan jika ada sebarang maklumat mangsa atau objek di sekitar kawasan berkenaan di talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian awal pagi semalam, sebuah kereta terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jambatan Pulau Pinang.

Kemalangan itu berlaku dari arah pulau menghala ke seberang pada jam 2.45 pagi tadi.

Menurut bomba, dua buah kenderaan terlibat yang mana, sebuah kereta Toyota Vios remuk dan pemandunya yang berusia 20 an cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Maklumat dari orang awam mengatakan, ada sebuah kereta lain telah terjunam ke dalam laut dan usaha pencarian masih diteruskan hari ini.