Insiden kekecohan tak jejas kempen PRK Cameron Highlands

Mohamad Hasan dan Abdul Hadi bertemu ketika program Pentas Perdana di Dataran Sungai Koyan - Foto SINAR HARIAN, SHARIFUDIN ABD RAHIM
Mohamad Hasan dan Abdul Hadi bertemu ketika program Pentas Perdana di Dataran Sungai Koyan - Foto SINAR HARIAN, SHARIFUDIN ABD RAHIM
A
A
A

LIPIS — Berlaku sedikit pertengkaran mulut antara jentera calon BN dan sekumpulan penyokong PH ketika berkempen di Perkampungan Orang Asli antara Pos Lenjang dan Titom petang semalam.

Insiden itu dipercayai terjadi berikutan beberapa individu dari jentera calon BN telah mengambil video penyalahgunaan kenderaan kerajaan negeri untuk tujuan membantu kempen calon PH.

Rentetan itu, pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak terjadi namun tiada sebarang sentuhan fizikal berlaku.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar berkata insiden cemas itu berlaku pada petang semalam semasa kumpulan konvoi jentera BN yang turut disertai calon,Ramli Mohd Nor mahu pulang dari perkampungan berkenaan.

“Saya difahamkan calon pergi berkempen di sebuah perkampungan orang asli, balik dari kampung tersebut ada sedikit kekecohan berlaku (dimana) salah seorang timbalan menteri difahamkan telah menggunakan kenderaan kerajaan.

“Pihak tertentu telah melihat kenderaan kerajaan yang menggunakan lambang PH. Dan apabila dikoyakkan pada lambang itu, saya tengok di video tertera nama Jabatan Perhutanan Daerah Raub.

“Timbalan menteri itu telah meminta salah seorang yang mengambil video itu untuk menyerahkan telefon kepada beliau untuk dipadam. Di situ ada berlaku pertengkaran dan ekoran itu kita(calon) akan buat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Pentas Perdana di Dataran Sungai Koyan 1,malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pemangku Presiden Umno,Datuk Seri Mohamad Hassan, Presiden Pas,Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar, Menteri Besar Perlis,Datuk Seri Azlan Man dan calon BN,Ramli sendiri.

Menurutnya, satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat mengenai insiden terbabit.

"Ia memang benar berlaku, ia memang ada penggunaan kenderaan kerajaan. Ini dapat saya lihat sendiri (dalam video) dan tidak ada berlaku body contact (sentuhan), cuma ada pertengkaran secara lisan dan laporan polis akan dibuat,” katanya.