PM tiba di Vienna untuk lawatan kerja

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

VIENNA - Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Vienna pada Ahad untuk menghadiri dua forum anti rasuah iaitu Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) dan menyampaikan syarahan di International Anti Corruption Academy (IACA).

Pesawat yang membawa Perdana Menteri Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna kira-kira 4.15 petang waktu tempatan (11.15 malam di Malaysia).

Dr Mahathir yang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Austria diiringi oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau disambut di lapangan terbang oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Ganeson Sivagurunathan

Acara kemuncak lawatan Dr Mahathir ialah menyampaikan ucaptama pada persidangan IAACA bertemakan “15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa.

Dalam pada itu, perdana menteri Malaysia berusia 93 tahun itu juga dijadual menyampaikan syarahan bertajuk “Memerangi Rasuah di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif” di IACA esok.

Dr Mahathir juga dijadual bertemu Canselor Republik Austria Sebastian Kurz di Federal Chancellery dan Presiden Persekutuan Republik Austria, Dr Alexander Van der Bellen di Istana Hofburg selain bertemu dengan Komuniti Perniagaan Austria dan berdialog dengan warga diaspora Malaysia.

Ini merupakan penampilan pertama perdana menteri Malaysia itu dalam kedua-dua forum. Kali terakhir Dr Mahathir melawat Austria ialah pada 1985 semasa beliau menyandang jawatan sebagai perdana menteri keempat. - Bernama

Artikel Berkaitan: