Bayaran tunggakan gaji pekerja pembersihan bukan bawah PPj

Isu bayaran perkhidmatan yang dibangkitkan pengadu di media sosial pada 3 Jun lalu.
Isu bayaran perkhidmatan yang dibangkitkan pengadu di media sosial pada 3 Jun lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bayaran tunggakan gaji pekerja pembersihan di Putrajaya Sentral perlu diselesaikan oleh syarikat kontraktor utama yang melantik sub kontraktor itu dan bukannya Perbadanan Putrajaya (PPj).

PPj dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kaedah pembayaran ke atas kontraktor adalah menggunakan kaedah tuntutan semula bagi kerja-kerja yang telah dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, tuntutan terakhir dibuat kontraktor terlibat pada April lalu bagi kerja-kerja yang dilaksanakan bagi bulan Januari dan Februari.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PPj tetap memproses dan membuat semakan kepada tuntutan tersebut dan pembayaran telah dibuat pada pertengahan bulan Mei lalu.

"Justeru, setakat ini tiada tunggakan bayaran ke atas kontraktor itu berdasarkan tuntutan bayaran yang dikemukakan," katanya dalam kenyataan maklum balas berkenaan pembayaran kontraktor pembersihan di Putrajaya Sentral.

Pada 3 Jun lalu, isu tersebut dibangkitkan di media sosial mendakwa kontraktor pembersihan di Putrajaya Sentral tidak dibayar perkhidmatan selama empat bulan dan menuntut Nadi Putra dan PPj bertanggungjawab.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu PPj memaklumkan tidak akan mencampuri urusan dalaman antara kontraktor dengan sub kontraktor tersebut.

"Permasalahan yang dibangkitkan oleh pengadu adalah di bawah tanggungjawab pihak kontraktor dan perlu dibincangkan bersama sub kontraktor yang dilantik olehnya.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai pemilik premis, PPj bertanggungjawab dalam menyemak dan memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan memenuhi spesifikasi dan petunjuk prestasi yang ditetapkan," kata kenyataan itu.