Johor tangguh pembukaan semua bazar

AYUB
AYUB
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menangguhkan pembukaan bazar sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil berkata, ini termasuk Bazar Karat Johor Bahru dan persetujuan itu dicapai menerusi perbincangan semalam dengan datuk bandar dan semua yang Dipertua PBT.

"Ini kerana penganjuran bazar seperti ini dilihat merupakan acara himpunan awam, mempunyai kunjungan orang ramai yang lebih tinggi dan melibatkan peniaga ramai.

"Selain itu, PBT menilai dahulu tahap kawalan dan perlaksanaan semua pasar pagi dan pasar malam yang akan dibuka pada 15 Jun ini sebelum membuat keputusan membuka bazar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, garis panduan diberikan untuk pembukaan pasar pagi dan pasar malam adalah mestilah dibuka di kawasan bersesuaian, lapang dan juga berpagar untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, perbincangan dilakukan kemudiannya bersetuju untuk membenarkan PBT sekiranya mahu mencari lokasi baharu yang lebih sesuai bagi penganjuran pasar sedia ada.

Jelas beliau, sekiranya kawasan penganjuran pasar itu tidak mempunyai pagar, PBT perlu memastikannya mempunyai hadangan seperti menggunakan tiang atau ditanda dengan pita, penjarakan antara setiap gerai 1.5 meter atau 2 meter.

Mengenai pembukaan operasi pasar pagi dan pasar malam itu, beliau berkata, akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukan kesemua lokasi dibuka serentak.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat juga PBT yang akan membuka pasar pagi dan pasar malam di kawasan mereka selepas 15 Jun dan perkara ini dibenarkan bagi memberi peluang kepada mereka meneliti dan berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkaitan," katanya.

Katanya, langkah itu juga bagi melihat terlebih dahulu tahap penguatkuasaan di setiap lokasi selain memastikan kawalan PBT berada pada tahap maksima.

Jelasnya, tempoh operasi yang dibenarkan bagi pasar pagi adalah dari jam 6 pagi hingga 11 pagi manakala pasar malam 4 petang hingga 10 malam.

Menurutnya, pasar juga dibuka dengan hanya mempunyai laluan keluar masuk sehala, kemas, tidak sesak dan sempit dengan proses urus niaga jualan hanya dijalankan secara belian terus dan tidak berlengah.

Beliau berkata, bagi pasar yang mempunyai jumlah peniaga ramai, PBT akan menggunakan konsep penggiliran lot berniaga untuk mengurangkan jumlah gerai sekali gus memastikan kawasan pasar kekal sistematik.