'Buat empat perkara sebelum boleh mula latihan'

No Image Caption
A
A
A

SEMUA pasukan Liga Malaysia yang mahu memulakan latihan wajib melakukan empat perkara diarahkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) sebelum mereka dibenarkan untuk turun ke padang bermula 15 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, menjelaskan empat aspek itu amat penting agar tidak melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

" Langkah paling awal yang perlu dilakukan adalah menjalani ujian calitan atau swab test dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL setelah disahkan oleh doktor pasukan.

"Perkara kedua pula mereka perlu melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.

" Selain daripada itu, pasukan wajib menamakan pusat latihan yang mesti diadakan di tempat tertutup kerana kita tidak mahu berlaku perkumpulan orang ramai di tempat latihan, manakala yang terakhir, venue latihan wajib didaftarkan melalui pautan notification.miti.gov.my (MITI).

"Saya mengharapkan kerjasama daripada semua pasukan dalam soal ini agar dapat memberikan kelancaran selepas mereka diberi kebenaran mengadakan latihan namun dalam waktu yang sama, kita dapat membendung wabak Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dalam talian bersama setiausaha-setiausaha pasukan Liga Malaysia yang diadakan di ibu pejabat MFL,semalam.

Sesi ini membincangkan secara mendalam SOP yang perlu dipatuhi setiap pasukan untuk mengadakan latihan sepertimana yang dibenarkan

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini MKN dan KBS mengumumkan keputusan untuk membenarkan semua pasukan kembali memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat mulai 15 Jun ini dan mengikut perancangan jika mendapat kebenaran kerajaan, Liga Malaysia dijangka bersambung semula pada September depan.