Kereta terjunam dalam laut, bapa mangsa tampil buat laporan polis

A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki telah membuat laporan polis selepas anak lelakinya berusia 20 tahun tidak pulang sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki tersebut hadir di Ibu Pejabat Polis SPT petang tadi bagi membuat laporan berkenaan anak lelakinya itu.

Menurutnya, lelaki terbabit membuat laporan pada jam 5 petang tadi selepas menerima maklumat dari rakan anaknya itu bahawa mangsa disyaki terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang.

"Bapa kepada mangsa diberitahu oleh rakan anaknya bahawa kereta yang dipandu anaknya iaitu jenis Mazda CX5 berwarna putih telah terlibat kemalangan dan terjatuh ke dalam laut.

"Mangsa dikenali sebagai Moey Yun Peng adalah pelajar sebuah kolej swasta dan tinggal di Taman Kempas, Butterworth," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, sehingga kini, tiga saksi bebas dan dua rakan mangsa telah tampil membantu siasatan.

"Kesemua saksi telah dirakam percakapan mereka dan dua rakan mangsa mengaku mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut. Menurut mereka, mangsa dalam perjalanan pulang dari menyambut hari lahir rakan mereka di Georgetown.

"Sementara itu, seorang saksi bebas yang nampak kejadian telah memberikan kerjasama dan berkongsi video 'dash cam' kereta miliknya kepada polis," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia