Hotel di Negeri Sembilan tawar diskaun bermula 50 peratus

Pemandangan matahari terbenam di Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto 123RF
Pemandangan matahari terbenam di Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula esok bakal menggerakkan semula sektor pelancongan di Negeri Sembilan, selain orang ramai mengambil peluang untuk bercuti dan balik ke kampung masing-masing.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, hotel-hotel yang berdaftar sebagai ahli (MAH Negeri Sembilan) akan menawarkan diskaun penginapan bermula dari 50 peratus dan ke atas.

Beliau berkata, promosi tersebut boleh dirujuk di laman sesawang nsholidaydestination.org.

Katanya, keputusan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik, mampu menjana semula pendapatan sektor pelancongan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas.

“Ini akan membolehkan industri perhotelan akan dapat bangkit semula dan berdaya saing dengan sebahagian langkah untuk menyediakan tawaran diskaun paling menarik kepada pengunjung semasa PKPP nanti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya telah merangka pelan tindakan untuk meningkatkan serta mengaktifkan semula produk-produk pelancongan domestik di negeri ini.

Beliau berkata, pengumuman itu dinantikan dan pihaknya bergerak seiring dengan hasrat kerajaan dalam merancakkan kembali pelancongan domestik.

Muhammad Zahir berkata, LPNS mempunyai tiga program di bawah pelan tindakan itu iaitu, pertamanya, produk terkini iaitu produk-produk pelancongan domestik di Negeri Sembilan akan dikemas kini.

Artikel Berkaitan:

“Kedua, produk ‘kesedaran’ yang memberi keutamaan kepada produk pelancongan domestik yang baru bertapak dengan bantuan dari segi promosi menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan portal LPNS manakala ketiga, mengiktiraf dan memberi tanda pengenalan dengan pengusaha yang akan diberikan plak dan disenaraikan dalam pelancongan domestik di negeri ini.

"Kita sudah mengumpul senarai tempat yang berpotensi itu dan pada minggu hadapan, kita akan mula menjalankan pelan tindakan ini,” katanya.

Antara lokasi pelancongan utama di Negeri Sembilan ialah pantai peranginan Port Dickson dengan produk pelancongan seperti hotel dan penginapan serta Muzium Angkatan Tentera, selain beberapa lokasi lain di Kuala Pilah, Seri Menanti dan Seremban.

Sementara itu, penjawat awam, Anis Zaharudin, 36, merancang untuk membawa keluarga bercuti di Port Dickson memandangkan telah lama tidak dapat berbuat demikian berikutan PKP dan menyifatkannya sebagai ‘terapi’.

“Hasrat untuk bercuti bersama dengan keluarga telah tertangguh disebabkan PKP, dan setelah kerajaan mengumumkan pelancongan domestik dibenarkan, saya terus merancang untuk membawa keluarga bercuti dalam masa terdekat ini,” katanya.

Siti Noor Azira Mohd Faudzi, 26, pula berhasrat untuk pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah bagi melepaskan kerinduan terhadap kedua ibu bapanya, selepas tidak dapat berbuat demikian hampir dua bulan, hujung bulan ini. - Bernama