Lebih 3,000 bilik penginapan di tempah di Pahang

Sebuah hotel di Cameron Highlands turut menerima lebih 300 tempahan bilik dalam hanya beberapa jam selepas pengumuman tersebut, FOTO: 123rf
Sebuah hotel di Cameron Highlands turut menerima lebih 300 tempahan bilik dalam hanya beberapa jam selepas pengumuman tersebut, FOTO: 123rf
A
A
A

KUANTAN - Hotel dan resort di Pahang kembali menjadi tumpuan apabila lebih 3,000 tempahan bilik penginapan diterima di Pahang sejak semalam susulan kebenaran rentas negeri melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ia termasuklah kawasan tanah tinggi Cameron Highlands apabila sebuah hotel turut menerima lebih 300 tempahan bilik dalam hanya beberapa jam selepas pengumuman tersebut.

Menurutnya, pengumuman kerajaan itu memberi impak positif terhadap industri pelancongan termasuk sektor perhotelan negeri yang kembali bangkit selepas berbulan-bulan mengalami kemerosotan kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

MOHD SHARKAR
MOHD SHARKAR

"Selain Cameron Highlands, destinasi-destinasi seperti Kuantan, Cherating, Rompin juga telah mula menerima tempahan daripada pelancong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut mendapat perhatian katanya, Pulau Tioman dan hotel-hotel di Taman Negara yang menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata, memandangkan sebahagian besar Taman Negara terdiri daripada pasaran antarabangsa iaitu sebanyak 66 peratus, agensi pelancongan dan resort juga perlu menyesuaikan aktiviti dan produk bersesuaian untuk menarik pasaran tempatan.

"Bagaimanapun aktiviti laut seperti skuba dan snorkeling masih belum dibuka begitu juga di Genting Highlands memandangkan aktiviti utamanya ialah taman tema," katanya.

Artikel Berkaitan:

Melalui perkembangan tersebut, beliau yakin industri pelancongan bakal menerima manfaat daripada kebenaran rentas negeri dan sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) keselamatan khusus untuk dilaksanakan di semua hotel dan resort di negeri ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga akan terus membantu dan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan industri pelancongan khususnya sektor perhotelan dipulihkan kembali selepas terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

"Penggiat pelancongan di negeri ini juga memberi reaksi positif daripada keputusan kerajaan itu dan menjangkakan terus berlaku peningkatan dalam pelancongan domestik serta bersedia memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi.

"Kerajaan Pahang akan akur dan patuh dengan segala yang ditetapkan kerajaan dan jika berlaku kes jangkitan Covid-19, hotel atau resort terlibat akan segera ditutup," katanya.