Terkejut nampak kereta terjunam dalam laut

Pasukan penyelamat masih melakukan pencarian walaupun berdepan kesukaran.
Pasukan penyelamat masih melakukan pencarian walaupun berdepan kesukaran.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang saksi kejadian tergamam apabila ternampak sebuah kereta putih terjunam ke dalam laut ketika sedang memancing bersama beberapa rakannya pagi tadi.



Dia yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia bersama lima rakannya sedang memancing di tiang bawah Jambatan Pulau Pinang kira-kira jam 2.40 pagi tadi.



Tambahnya, ketika leka memancing, mereka terdengar bunyi dentuman kuat sebelum ternampak sebuah kereta terjunam ke dalam laut.



"Saya dan rakan-rakan terdengar bunyi dentuman dan selepas itu nampak macam kereta tetapi tidak tahu jenisnya terjunam ke dalam laut. Kami yang panik cuba menyuluh ke arah kereta itu terjatuh.



"Tetapi keadaan pada waktu itu agak gelap dan kami tidak nampak apa-apa. Salah seorang rakan saya menghubungi bantuan dari pihak berkuasa," katanya ketika ditemui tadi.



Sementara itu, operasi mencari sebuah kereta yang terjunam ke dalam laut selepas dirempuh sebuah kereta Toyota Vios di Jambatan Pulau Pinang masih dijalankan.



Jurucakap bomba berkata, operasi dijalankan dengan kekuatan logistik lima buah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang.



Menurutnya, pasukan penyelam telah membuat pencarian di kedalaman 50 kaki bagi mencari kereta berkenaan.

Artikel Berkaitan:



Dalam pada itu, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, operasi mencari dijalankan sejak jam 7 pagi tadi.



Menurutnya, pasukan pencarian turut berdepan situasi sukar kerana keadaan berkabut dan tidak jelas.



"Walaupun mengalami kesukaran seperti arus deras dan berkabut, operasi masih diteruskan," katanya.



Difahamkan, operasi mencari akan dihentikan pada jam 7 petang nanti atas faktor cuaca gelap dan pencarian akan diteruskan esok.



Dalam kejadian awal pagi tadi, sebuah kereta dipercayai terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jambatan Pulau Pinang.



Kemalangan itu berlaku dari arah pulau menghala ke seberang pada jam 2.45 pagi tadi.



Menurut bomba, dua buah kenderaan terlibat yang mana, sebuah kereta Toyota Vios remuk dan pemandunya yang berusia 20-an cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.



Maklumat dari orang awam mengatakan, ada sebuah kereta lain telah terjunam ke dalam laut dan usaha pencarian masih diteruskan sehingga kini.