PRU15: Terengganu negeri sifar pembangkang

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yakin Perikatan Nasional (PN) dapat menguasai semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, bagi mencapai hasrat itu Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu perlu akur setiap keputusan daripada pimpinan parti bagi memastikan Terengganu menjadi sebagai negeri 'zero' pembangkang.

"Kita sangat sedar Bersatu paling 'bongsu' dan paling kecil sokongannya berbanding BN dan Pas di Terengganu tetapi kita juga sedar di peringkat Pusat, Bersatu mempunyai sokongan kuat khususnya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sekiranya kerjasama BN, Bersatu, Pas dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak dalam PN pada hari ini kekal, maka PN akan terus berkuasa bukan sahaja di Terengganu malah Kelantan dan beberapa negeri lain pada PRU15 akan datang.

"Saya yakin, bagi saya, 100 peratus Terengganu akan terus kekal di bawah PN tanpa pembangkang," katanya mengulas kenyataan Pas yang menegaskan kerjasama politik terutamanya bersama BN dan Bersatu semakin mantap sekali gus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan PN.

Hari ini, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin bersama barisan Kabinetnya yang terdiri daripada semua parti-parti anggota.

Menurutnya, suatu fakta jelas bahawa kerjasama politik antara Pas dengan BN khususnya UMNO telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekali gus membentuk Muafakat Nasional.

Artikel Berkaitan: