Wanita terselamat selepas cucuk mata buaya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENDRAPARA - Seorang nelayan wanita berusia 33 tahun terselamat dalam satu serangan buaya di Sungai Ramachandi di Hariabanka dekat Bhitarkanika, India pada Khamis lalu.

Menurut portal berita The New Indian Express, wanita itu, Mamata Jana memberitahu dia terpaksa mencucuk mata reptilia itu bagi menyelamatkan diri.

Ketika kejadian, Jana sedang mengutip anak-anak udang di sebatang sungai dengan seorang lagi wanita.

Tiba-tiba, seekor buaya sepanjang kira-kira 2.7 meter menyerang dan cuba membaham tangannya.

"Selepas mencucuk mata reptilia itu, buaya tersebut kemudian melonggarkan gigitannya menyebabkan saya bertindak menyelamatkan diri," katanya dari atas katil hospital.

Seorang saksi, Arati Mandal berkata: "Ketika Jana berada pada permukaan air paras pinggang, seekor buaya menyerang ke arahnya. Semasa dia bergelut untuk menyelamatkan diri daripada dibaham buaya, kami turut melontarkan batu ke arah reptilia itu.

"Buaya itu kemudian menyerah kalah dan Jana menyelamatkan diri. Jana mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangannya.

"Dia kemudian dirawat di sebuah pusat kesihatan di Mahakalapada."

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pegawai hutan Taman Bikash Ranjan Dash berkata, walaupun banyak amaran telah diberikan, penduduk masih lagi pergi ke sungai, anak sungai dan tasik.

"Taman itu ditutup dari 1 Mei hingga 31 Julai yang merupakan waktu pembiakan buaya," katanya.

Dia berkata, Jabatan Perhutanan akan membiayai kos rawatan wanita tersebut. - Agensi