Keracunan makanan: Kerajaan Terengganu perketat SOP

Nurkhuzaini Abdul Rahman
Nurkhuzaini Abdul Rahman
A
A
A

MARANG - Kerajaan Terengganu akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat kepada peniaga dalam talian terutama peniaga makanan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan berulang.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, SOP itu merangkumi pelbagai aspek termasuk keperluan mempunyai lesen dan suntikan typhoid.

"Kita kena pantas bertindak apabila melihatkan pertumbuhan perniagaan dalam talian ini. Kita melihat keperluan untuk membuat SOP yang lebih ketat, kena ada satu peraturan untuk mengawalnya supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Pengusaha makanan yang berdaftar dengan GanuShop (aplikasi bazar online) sekarang ini ada lebih 3,000 orang dengan jumlah makanan lebih 18,000 jenis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan ke kediaman Abdull Aziz Idris, 63, bapa kepada Nur Amira Fathihah, 25, yang meninggal dunia pada 3 Jun lalu setelah 10 hari bertarung nyawa kerana keracunan puding buih di Taman Makmur, Sungai Kerak di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin.

Nurkhuzaini (dua kiri) menyerahkan bantuan faedah Perkeso kepada Abdull Aziz
Nurkhuzaini (dua kiri) menyerahkan bantuan faedah Perkeso kepada Abdull Aziz

Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan sebelum SOP baharu diperkenalkan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil berbanding pengusaha makanan dalam talian yang tidak berdaftar.

"Kita bimbang apabila tidak ada pematuhan dan perlanggaran SOP, sukar untuk tindakan diambil kerana mereka tidak berdaftar," katanya.

Dalam pada itu, katanya, hasil semakan yang dibuat, peniaga puding buih yang terlibat tiada kaitan dengan GanuShop atau mana-mana agensi kerajaan.

"Kementerian Kesihatan mengarahkan penyedia makanan mesti mengambil suntikan typhoid dan kita di pihak Yayasan Pembangunan Usahawan juga mengarahkan semua penyedia makanan mesti ada sijil suntikan, terutama yang nak berdaftar dengan GanuShop," katanya.

Sementara itu, Nurkhuzaini menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 bagi pihak Perkeso kepada keluarga mangsa.

Keluarga Nur Amira Fathihah juga layak menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM675.75 seumur hidup, memandangkan arwah yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak Petron, Rusila membuat caruman bulanan selama tiga tahun bekerja.