X

Kindly register in order to view this article
!

Penjana inisiatif terbaik bantu belia terjejas

Aswannudin
A
A

IPOH - Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam merupakan langkah terbaik menangani kebimbangan berhubung kadar pengangguran belia.

Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, ia juga boleh meningkatkan keboleh pasaran graduan dengan beberapa inisiatif diumumkan antaranya perluasan program subsidi upah bernilai RM5 bilion, pengambilan pekerja berjumlah RM1.5 bilion, peningkatan kemahiran bagi mereka yang menganggur berjumlah RM2 bilion dan program peningkatan kemahiran.

"Dalam pengumuman ini juga, kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.

"Ianya bertepatan dengan kegusaran kita berhubung bagaimana keadaan rakyat khususnya golongan belia untuk menyara kehidupan mereka selepas pasca koronavirus (Covid-19) kelak kerana dianggarkan pada tahun ini hampir 50,000 lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) akan memasuki alam pekerjaan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, peruntukan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang tidak bekerja merupakan strategi pantas kerajaan di bawah fasa pemulihan dalam cabaran mengupayakan semula ekonomi rakyat.

Katanya, inisiatif itu berupaya memberi manfaat lebih 200,000 orang khususnya kalangan belia.

"Majlis Belia Negeri Perak menyambut baik segala inisiatif yang disediakan menerusi pelan ini, terima kasih Perdana Menteri," katanya.

Semalam, kerajaan memperkenalkan Penjana dengan tema Bersama Menjana Ekonomi bagi menangani impak pandemik Covid-19 menerusi tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat dan kedua, melonjakkan perniagaan serta ketiga, merangsang ekonomi.

Secara keseluruhan terdapat 40 inisiatif digerakkan bernilai RM35 bilion di bawah Penjana.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan perkenal Penjana bernilai RM35 bilion


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus