‘Pilihlah ikon politik baharu’

Saifuddin ketika ditemu bual dalam program Sinar LIVE Khas di Kompleks Karangkraf, Shah Alam semalam.
Saifuddin ketika ditemu bual dalam program Sinar LIVE Khas di Kompleks Karangkraf, Shah Alam semalam.
A
A
A

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengajak pemimpin dan rakyat negara ini untuk beralih kepada ikon politik baharu dengan melihat kepada dasar yang diperjuangkan, bukan personaliti, demi masa depan politik negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mencadangkan agar semua pihak melupakan personaliti politik lama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita terhutang budi dengan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Itu tiada siapa yang akan bertelagah soal terhutang budi dan sebagainya.

“Tetapi untuk masa depan politik, saya rasa kita perlu mencari wajah-wajah baharu. Saya mencadangkan kita lupakan beberapa personaliti.

“Kalau masih hendak mencari personaliti, carilah tokoh-tokoh yang baharu tetapi adalah lebih baik kalau kita melihat soal dasar,” katanya dalam wawancara program Sinar LIVE Khas bertajuk ‘Normal Baharu Menguji Kerajaan’ di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 di sini semalam.

Program Sinar Harian Online itu dikendalikan oleh moderator Haslina AR Kamaludin.

Dalam sejarah politik Malaysia, Dr Mahathir merupakan seorang tokoh penting apabila menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun iaitu sejak tahun 1981 sehingga 2003.

Bagaimanapun, beliau kemudian kembali berkuasa melalui kerjasama dengan gabungan parti politik yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH). Gabungan itu berjaya mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Dr Mahathir kembali menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh dari Mei 2018 sehingga Februari 2020.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anwar pula mula menyertai politik pada tahun 1982 selepas menerima pelawaan daripada Dr Mahathir untuk menyertai UMNO dan selama 38 tahun terbabit dalam pergolakan politik Malaysia.

Saifuddin (empat dari kiri) bergambar bersama Hussamuddin (tiga dari kiri) dan kakitangan Sinar Harian sebelum diwawancara dalam program Sinar LIVE Khas bertajuk ‘Normal Baharu Menguji Kerajaan’ di Kompleks Karangkraf, Shah Alam semalam.
Saifuddin (empat dari kiri) bergambar bersama Hussamuddin (tiga dari kiri) dan kakitangan Sinar Harian sebelum diwawancara dalam program Sinar LIVE Khas bertajuk ‘Normal Baharu Menguji Kerajaan’ di Kompleks Karangkraf, Shah Alam semalam.

Jawatan tertinggi yang dipegang oleh Anwar ialah sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993 sehingga 1998.

Bagaimanapun, harapan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelapan menerusi peralihan kuasa daripada Dr Mahathir musnah selepas kerajaan PH tumbang pada Februari lalu, yang memberi laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri. Menurut Saifuddin, Anwar mempunyai sumbangan yang besar dalam politik negara.

“Beliau juga lama dalam politik dan ketika beliau tidak memegang jawatan pun, tidak boleh mengatakan beliau tidak ada langsung sumbangan.

“Kalau tak (kerana Anwar), tidak ada gerakan reformasi dan sebagainya. Ya, tetapi pertelingkahan antara sesetengah idola politik Malaysia itu sendiri sudah berlangsung terlalu lama.

“Saya tidak kata tolak, tetapi adalah lebih baik untuk masa ke hadapan kita mencari cita dan citra atau wajah ikon politik yang baharu,” ujar beliau.

Beliau menegaskan, politik Malaysia sangat dipengaruhi oleh personaliti yang sama, dan kini pemimpin dan rakyat perlu melangkah kepada politik yang berorientasikan dasar.

Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan ke Kompleks Karangkraf dan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan melawat balai berita akhbar Sinar Harian.

Ia merupakan lawatan pertama beliau selepas dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pada Mei 2018, Saifuddin telah dilantik untuk menyertai Kabinet Dr Mahathir dan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Luar.