Giroud dedah rahsia kekal di Stamford Bridge

Giroud
Giroud
A
A
A

PENGHARAPAN tinggi Chelsea terhadap khidmatnya dan impak pandemik Covid-19 yang belum berakhir antara dua faktor pendorong Olivier Giroud kekal di Stamford Bridge.

Menurut Giroud, pada mulanya dia sememangnya mahu meninggalkan Chelsea penghujung musim ini selepas mengharungi suasana suram di kelab berkenaan.

“Kurang minit perlawanan pada musim ini antara penyebab utama saya mahu meninggalkan Chelsea sebaik kontrak berakhir musim ini.

“Tapi Frank Lampard berjumpa saya meminta untuk kekal bersama Chelsea kerana belum menemui pengganti saya sekali gus membantu membimbing pemain muda kelab.

“Keseriusan Lampard menyebabkan saya mengambil keputusan untuk terus kekal bersama Chelsea bagi tempoh setahun lagi,” kata penyerang berusia 33 tahun itu.

Bekas tonggak Arsenal itu sebelum ini hampir meninggalkan kelab London berkenaan pada Januari lalu dalam usahanya mendapat tempat untuk skuad kebangsaan Perancis di Euro.

Kedudukan Giroud dalam kesebelasan utama Lampard sering dibayangi pemain muda Tammy Abraham yang menjadi pilihan utama bekas pemain Chelsea itu.

Tambah Giroud, kini dia bertekad membalas kepercayaan diberikan Lampard dan pengurusan kelab berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kelab menawarkan kesempatan untuk melanjutkan kontrak saya di Chelsea dan saya terus menerimanya kerana saya suka di sini.

“Saya ingin terus memenangi trofi-trofi dan ingin terus menunjukkan kepada Lampard bahwa bukan satu kerugian menyambung kontrak saya,” katanya.

Pada masa sama Giroud menegaskan ketidaktentuan situasi semasa pandemik Covid-19 juga menyebabkan dia memutuskan untuk kekal bersama Chelsea.

“Status pandemik Covid-19, menyebabkan saya perlu memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan ahli keluarga saya.

“Sejujurnya saya dan keluarga tidak berasa selesa dan selamat dalam situasi perintah berkurung yang berlaku akibat Covid-19.

“Tumpuan saya sekarang adalah memikirkan soal kualiti hidup kami dan kami punya situasi yang selesa dan selamat di sini,” tambah pemain berusia 33 tahun itu.

Pada musim ini Giroud baru sembilan kali tampil dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan menyumbat dua gol.

Malah untuk semua pertandingan bersama Chelsea, dia hanya diturunkan dalam 13 perlawanan.