Campak plastik isi dadah RM11,500 selepas disapa polis

Omar Bakhtiar (dua dari kiri) menunjukkan pil kuda yang dirampas daripada seorang lelaki di R&R Gunung Semanggol.
Omar Bakhtiar (dua dari kiri) menunjukkan pil kuda yang dirampas daripada seorang lelaki di R&R Gunung Semanggol.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tindak tanduk mencurigakan seorang lelaki membawa kepada penemuan 1,200 biji dadah jenis pil kuda dan syabu di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah selatan di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penganggur berusia 30-an itu ditahan pada jam 4.30 petang di tepi kereta jenis BMW 325i Sports miliknya selepas dilihat memegang satu beg plastik.

"Ketika pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Taiping memperkenalkan diri sebagai polis, suspek bertindak membuang beg plastik yang dipegangnya itu di rumput berhampiran.

"Pemeriksaan pada sebuah beg silang menemui sejumlah wang, jam tangan berjenama dan telefon bimbit," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemui enam peket yang mengandungi 1,200 pil kuda dan dua peket syabu seberat 59 gram dengan nilai keseluruhan RM11,500 dalam beg plastik yang dibuang suspek.

"Kita percaya dadah yang dirampas tersebut dijual dengan harga RM70 bagi setiap gram syabu manakala pil kuda dijual RM6 sebiji.

"Suspek yang menetap di Kuala Lumpur itu dipercayai mengedar di kawasan ibu negara dan bekalan diperoleh dari negeri pantai timur," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, suspek kini di bawah perintah tahanan reman IPD Taiping selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah kedai di Taiping.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan mohon perintah reman bagi meneruskan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.