X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka, Kuala Terengganu, Seremban bandar paling bahagia

Bandaraya Melaka Bersejarah, Bandaraya Kuala Terengganu dan Seremban diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 di Malaysia.
A
A

KUALA LUMPUR - Bandaraya Melaka Bersejarah, Bandaraya Kuala Terengganu dan Seremban diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2020 yang jatuh pada 20 Mac setiap tahun.

Turut tersenarai adalah bandar Bentong, Kuantan, Jasin, Kulai, Taiping, Jeli dan Yan yang dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Kajian itu membabitkan dua bandar yang terletak dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya, enam bandar di kawasan PBT bertaraf perbandaran dan dua bandar lagi di kawasan PBT bertaraf majlis daerah.

Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia 2019 ini adalah susulan daripada Anugerah Bandar Mampan 2019 yang telah diisytiharkan pada November tahun lepas sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 oleh PLANMalaysia.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Mohd Anuar Maidin berkata, Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 telah merekodkan tahap kebahagiaan negara secara keseluruhan berada pada paras bahagia dengan pencapaian 80.4 peratus.

Katanya, pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.

"MURNInets merupakan alat yang digunakan bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di negara ini di bawah seliaan PLANMalaysia. Indeks kebahagiaan merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

“Ia merupakan salah satu penunjuk dalam MURNInets di bawah Dimensi Komuniti Sejahtera yang telah diguna pakai untuk mengenal pasti tahap kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk Malaysia sejak tahun 2013,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jelasnya, Indeks Kebahagiaan merupakan satu daripada indikator dalam MURNInets yang dinilai melalui borang soal selidik kepada penduduk yang merangkumi 14 aspek utama iaitu tahap kehidupan dan kesihatan; keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam; infrastruktur asas yang disediakan; kebahagiaan bersama keluarga dan saudara-mara serta keseronokan bekerja.

“Aspek lain yang turut diambil kira ialah pengurusan kewangan; hubungan dengan jiran; aktiviti bersama komuniti; infrastruktur asas yang disediakan; perkhidmatan PBT dan pemimpin tempatan dan kualiti alam sekitar,” katanya.

Mohd Anuar berkata, sebanyak 106 PBT telah menyertai kajian ini termasuk PBT Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) dan Sarawak (Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Perbandaran Sibu dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan).

“Sebanyak 36,000 borang soal selidik telah diedarkan kepada semua penduduk di semua PBT yang terlibat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 69 bandar atau 65 peratus telah mencapai 80 peratus kebahagiaan dan ke atas manakala 37 bandar atau 35 peratus mencatat sederhana bahagia (iaitu antara 50 hingga 79.9 peratus),” katanya.

Jelasnya, antara aspek utama yang menyumbang kepada tahap kebahagiaan ini adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.

Mohd Anuar berkata, PLANMalaysia akan memastikan setiap aspek berkenaan diambil kira dalam proses perancangan dan pembangunan bandar dalam merancang pembangunan negara.

“Seharusnya ia dapat diterjemahkan dalam penggubalan dasar peringkat negara dan penyediaan rancangan pembangunan seperti Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah serta Rancangan Kawasan Khas.

“Rancangan pembangunan ini merupakan instrumen perancangan dan rujukan utama terbaik untuk memastikan aspek kebahagiaan diambil kira di setiap peringkat perancangan dan pengawalan pembangunan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pelaksanaan Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia untuk tahun ini dan seterusnya dapat diperkukuhkan lagi sekali gus menyumbang kepada kebahagiaan dan kesejahteraan masyarakat serta kemampanan pembangunan bandar di Malaysia.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!