Yakin Orang Asli setia

Ismail sempat mendengar masalah dihadapi peniaga di Brinchang.
Ismail sempat mendengar masalah dihadapi peniaga di Brinchang.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - BN yakin kesetiaan Orang Asli terhadap parti itu tidak goyah meskipun pelbagai usaha dilakukan kerajaan PH.

Ketua Whip BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menyedari usaha PH yang banyak memainkan isu Orang Asli dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Saya lihat memang mereka beri fokus kepada Orang Asli sebab itu dari awal mereka buat ugutan kepada Orang Asli kerana etnik ini mempunyai undi 22 peratus. Mereka terkenal sebagai penyokong tegar BN walau siapa pun bertanding mereka tetap sokong, kali ini dari suku kaum mereka sendiri.

“Orang Asli ialah penyokong tegar yang tidak boleh ugut, disogok dan sebagainya. Saya yakin sokongan Orang Asli masih kepada BN,” katanya selepas ‘walkabout’ sekitar Brinchang di sini, hari ini.

Menurutnya, Orang Asli pernah mendesak sebelum ini supaya lebih ramai wakil mereka di Parlimen selain senator di Dewan Negara.

“Sekarang mereka dah ada peluang. Tentu saja mereka akan bekerja keras untuk memberikan kemenangan.

“Saya beritahu kaum Semai, di Malaysia ada 18 suku kaum dan yang terpilih adalah kaum Semai Cameron Highlands,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, tindakan Kerajaan Pusat menyaman Kerajaan Kelantan berhubung isu hak tanah adat Orang Asli Temiar itu tidak sepatutnya berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Ada etika antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, apa saja berlaku kita adakan perbincangan. Sekarang kerajaan negeri pun boleh saman Kerajaan Persekutuan balik.

“Maka akan berlaku saman menyaman. Biasanya masalah perundangan kita selesaikan di luar mahkamah,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu juga bukan tindakan bijak dan mendakwa perkara itu berkaitan dengan politik di PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Mereka saman supaya boleh menarik sokongan Orang Asli di Cameron Highlands. Sedangkan kalau kita lihat banyak projek pembangunan yang dilakukan kerajaan BN untuk membangunkan Orang Asli.

“Jalan Pos Lejang, RM15 juta diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dulu tapi dibatalkan kerajaan hari ini. Saya difahamkan tidak ada peruntukan prasarana untuk perkampungan Orang Asli,” katanya.

Ismail juga mendakwa beberapa projek mega yang diluluskan BN dibatalkan PH termasuk ‘one stop centre’ di Gua Musang dan Cameron Highlands.