X

Kindly register in order to view this article
!

JTK siasat aduan pemberhentian pekerja beramai-ramai

Tinjauan Sinar Harian baru-baru ini mendapati pekerja yang dibuang berkumpul di hadapan premis bagi mendapatkan penjelasan majikan.
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang akan menyiasat aduan pemberhentian kerja beramai-ramai yang dibuat wakil pekerja sebuah perusahaan di sini baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTK Semenanjung Malaysia, Asri Wahab berkata, pihaknya menerima aduan lebih 200 pekerja dan mendapati mereka mempunyai asas aduan yang sama.

Menurutnya, berdasarkan aduan tersebut JTK Putrajaya bersama JTK Pahang dan pegawai Kementerian Dalam Negeri menemui pihak majikan bagi menyiasat dakwaan pemberhentian pekerja tempatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Apabila isu ini timbul di waktu PKPB, pihak JTK merasakan ia perlu ditangani dengan segera dan sebaik mungkin. Kami berjumpa pengurusan syarikat dan dalam pertemuan tersebut saya mencadangkan pihak majikan menangguhkan sekejap perkara berkaitan pemberhentian sehingga selesai PKPB.

"Sekiranya pekerja ini boleh dikekalkan, itu adalah yang terbaik. Namun kita memahami kedua-dua pihak berdepan sindrom ketakutan susulan pandemik Covid-19. Kita berharap pekerja dikekalkan dan kita percaya syarikat boleh pergi jauh," katanya pada sidang akhbar di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JTK Pahang, Pezman Che Hussin.

Asri Wahab berkata, pegawai JTK Kuantan melaksanakan tugas berdasarkan Akta Kerja 1955 iaitu berkaitan tempat pekerjaan.

"Kita turut menyiasat dari segi pembayaran gaji. Adakah gaji dibayar dengan betul. Adakah kadar upah biasa dikira betul dan bagaimana kiraan kerja lebih masa serta potongan tertentu dalam slip gaji.

"Kami membuat pemeriksaan secara teliti dan kalau didapati ada pelanggaran yang berlaku kertas siasatan akan dibuka. Masih lagi di peringkat siasatan. Ramai pegawai kami masih berada di sana. Ada pekerja mendakwa mereka cuma menerima surat pemberhentian menerusi aplikasi WhatsApp," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati majikan supaya melaksanakan perundingan dengan pekerja yang terlibat supaya mendapat satu persetujuan berkonsepkan situasi menang-menang.

"Bagi JTK kami bersedia menjadi perantara sebab tugas JTK menjaga kepentingan majikan dan kebajikan pekerja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus