Johor teliti tuntutan waris Datuk Mohammed Salleh Perang

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan Johor akan menyemak dan memperhalusi tuntutan harta pusaka keturunan Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang.

Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian berkata, semakan perlu dilakukan kerana harta yang dituntut adalah dari tahun 1856.

“Kita kena tengok balik. Saya rasa mereka yang ada pada hari ini, macam Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri pun tidak berapa maklum mengenai kesemua perkara ini melainkan kita mempunyai rekod untuk membolehkan kita menyemaknya.

“Jadi, dengan itu barulah saya boleh beritahu kedudukan yang sebenar,” katanya.

Ditanya mengapa PTG tidak memberi maklum balas terhadap surat waris Allahyarham yang menginginkan pengesahan pejabat itu berhubung aset yang dituntut, Osman berkata, beliau harus meneliti sejauh mana kebenaran tersebut.

Osman ditemui selepas majlis makan malam dan menandatangani Memorandum Persefahaman antara Johor Corporation (JCorp) dan lapan agensi serta syarikat berkaitan negeri di sini, malam ini.

Dalam satu sidang media semalam, waris keturunan Mohammed Salleh memohon kerajaan negeri memberikan kerjasama untuk menyerahkan harta pusaka milik Allahyarham yang didakwa bernilai sehingga RM300 bilion.

Wakil Waris Pentadbirnya, Mohd Zaini Aris berkata, penyerahan harus dilakukan secara jujur, amanah dan berhemah kerana pihaknya mempunyai dokumen sah seperti geran tanah untuk membuktikan Allahyarham masih mempunyai aset-aset di beberapa daerah masih belum dipindah milik kepada waris yang berhak sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaini juga mendakwa mereka berusaha mendapatkan harta pusaka berkenaan pada 2016 dengan bantuan peguam, namun tidak dapat diteruskan kerana dikatakan dihalang pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama