Tinggalkan budaya British, ikut tatacara timur

Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) terkilan berikutan sebuah rakaman video yang tular di laman sosial memaparkan beberapa pegawai tertinggi kerajaan termasuk Menteri Kabinet menari pada Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019, yang diadakan di Sabah.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, pihaknya merasakan tindakan individu itu dianggap melanggar tertil budaya seorang penguat kuasa undang-undang dan turut mengundang kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, tindakan kebaratan itu juga secara tidak langsung memberi imej buruk terhadap institusi perundangan negara yang sepatutnya dihormati kerana nilai-nilai yang dipegang mereka sejak dahulu lagi.

"Mereka seharusnya menjaga etika dan ketertiban sebagai seorang yang berkredibiliti dalam masyarakat, bukan sebaliknya.

"Sudah tiba masanya negara kita memperkasakan tatacara pemegang dan pelaksana sistem keadilan mengikut acuan tersendiri dan meninggalkan budaya British yang cuba dikekalkan dalam sistem kita sehingga hari ini," katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, hari ini.

Raja Ahmad Iskandar berkata, Serantau Muslim ingin mengingatkan bahawa institusi perundangan negara adalah harapan tinggi rakyat kerana ia adalah institusi yang sangat dihormati dan disegani dalam memberi teladan serta pengajaran kepada rakyat.

Katanya, amat penting untuk setiap anggota di bawah institusi perundangan berada seiring dengan tanggungjawab mereka tanpa sebarang celaan di mata komuniti.

Beliau berkata, jika tiada pengawalan terhadap budaya ini, ia dibimbangi menjadi lebih parah sehingga boleh merosakkan sistem perundangan negara yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Raja Ahmad Iskandar berkata, keadaan itu boleh menyebabkan rasa hormat rakyat kepada pengamal perundangan hilang jika benar seperti yang dinyatakan penganjur bahawa ia dikatakan sebagai acara tahunan.

Sebelum ini, video yang menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas serta beberapa individu lain bersama-sama dalam sebuah majlis tari menari sempena Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019, yang diadakan di Sabah tular di media sosial.

Disebabkan itu, banyak pihak mengkritik tindakan mereka bersama-sama kerana melanggar etika.