Pas akan pastikan PH terkubur di Kelantan

Che Abdullah (tiga dari kiri) memberi makan ikan kelah dan koi yang diternak Ab Aziz Al Safi di kediamannya di Pasir Tumboh hari ini.
Che Abdullah (tiga dari kiri) memberi makan ikan kelah dan koi yang diternak Ab Aziz Al Safi di kediamannya di Pasir Tumboh hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan akan memastikan calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding hilang wang pertaruhan sekiranya Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, seandainya benar PRU terpaksa diadakan Pas akan pastikan tidak akan ada lagi suara PH di Parlimen.

“Kalau betullah nak buat PRU, saya cukup yakin di Kelantan ini, Pas negeri akan pastikan PH hilang wang pertaruhan,” katanya kepada media hari ini.

Sebelum itu beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, melawat tapak penternakan ikan kelah di Pasir Tumboh yang diusahakan oleh Perunding Kesihatan, Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Mohd Saripuddin Tuan Ismail dan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Demit, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, dalam keadaan situasi terkini negara, beliau pasti yang PH mungkin tidak suka PRU diadakan.

“Sebenarnya dalam keadaan situasi negara sedang dilanda Covid-19 dan juga masalah politik berlarutan sejak PRU14 lalu, saya yakin rakyat sendiri seboleh-bolehnya (mahukan) kerajaan yang mantap.

“Kebanyakan rakyat tidak mahu lagi melihat berlaku pergolakan politik di peringkat pimpinan negara yang akan menyusahkan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah berkata, suasana dalam Parlimen akan berubah sekiranya dibenarkan bersidang sepenuhnya.

“Kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi ruang sepenuhnya untuk ahli Parlimen berbahas dan mengemukakan masalah rakyat dan sebagainya.

“Bagi pihak kerajaan kami bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, kita tidak ada masalah,” katanya.