X

Kindly register in order to view this article
!

Kelab EPL masih mencari rentak

Mourinho (kanan) menjangkakan saingan EPL akan berlangsung hambar sebaik berlangsung kembali pada 17 Jun ini.
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menjangkakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan disambung semula pada 17 Jun ini akan bermula hambar.

Menurutnya, kesemua 20 pasukan memerlukan masa untuk kembali berada pada prestasi sebenar masing-masing selepas berehat panjang sejak pertengahan Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

"Para peminat dan penyokong bola sepak EPL tidak boleh mengharapkan aksi menarik dapat dipamerkan pasukan selepas lama tidak bermain. Sudah tentu kami sedang bersedia untuk perlawanan pertama itu.

"Kami boleh mengatakan sudah bersedia tetapi hakikatnya bukan begitu. Contohnya, kita boleh saksikan dalam saingan Bundesliga. Terdapat perbezaan kualiti dalam perlawanan pertama dan ketiga.

"Apabila anda tengok pertemuan antara Bayern Munich dan Borussia Dortmund dalam perlawanan ketiga, baru anda boleh katakan itu adalah perlawanan sebenar.

"Perlawanan pertama selepas saingan Bundesliga disambung semula seperti aksi pramusim dan setiap pasukan perlu bersedia dengan lebih baik untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Semua pasukan sudah memulakan sesi latihan dengan mematuhi protokal yang telah ditetapkan oleh pihak Liga Perdana sebagai persediaan untuk menghadapi saingan liga 17 Jun ini.

Menurut Mourinho, tempoh sesi latihan selama hanya tiga minggu selain tiada aksi persahabatan turut bakal menjejaskan rentak setiap pasukan yang beraksi nanti.

"Jadi kami perlu pergi langkah demi langkah untuk kembali memburu mata. Dalam masa sama, kami kahu memberikan keseronokan kepada peminat yang menyaksikan perlawanan dan memberikan perlawanan berkualiti untuk semua penonton bola sepak dunia," ujarnya.

Terdahulu, pihak Liga Perdana telah mendapat kebenaran untuk meneruskan kembali saingan EPL bermula 17 Jun ini. Spurs dijadualkan menentang Manchester United pada perlawanan yang dijadualkan 20 Jun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!