Polis Petaling Jaya tambah sekatan Op Alkohol

Seorang pemandu sedang dibuat ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol dalam operasi khas di Lebuhraya Persekutuan.
Seorang pemandu sedang dibuat ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol dalam operasi khas di Lebuhraya Persekutuan.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Daerah Petaling Jaya akan menambah sekatan jalan raya dengan memberi tumpuan terhadap operasi khas ‘Op Alkohol’ untuk mengesan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebanyak dua sekatan jalan raya telah dilancarkan dalam operasi khas itu sejak Rabu lalu.

“Kita akan menambah sekatan jalan raya bagi membendung individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol kerana ia boleh membahayakan keselamatan dan menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya telah membuka 11 kertas siasatan dan seramai 11 pemandu mabuk telah ditahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Operasi hari ini, kita telah menahan tujuh pemandu dan penunggang motosikal disyaki mabuk.

"Kita juga mendapati satu tin minuman keras di dalam bakul motosikal yang dinaiki oleh seorang lelaki, manakala seorang lagi lelaki tidak mempunyai lesen dan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Menurutnya, majoriti yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol itu melibatkan individu seawal usia 19 tahun.

“Kesemua individu yang ditahan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius dan mengambil berat isu keselamatan masyarakat di daerah itu dan mengingatkan pengguna jalan raya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri masing-masing.