V Shem, Wee Kiong akur kehebatan Marcus, Kevin

Pemain beregu lelaki negara Goh V Shem (kanan) dan Tan Wee Kiong beraksi menentang lawannya dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. Mereka tewas dengan keputusan 21-18, 24-22. - Foto Bernama
Pemain beregu lelaki negara Goh V Shem (kanan) dan Tan Wee Kiong beraksi menentang lawannya dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. Mereka tewas dengan keputusan 21-18, 24-22. - Foto Bernama
A
A
A

BEKAS beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal dalam misi memburu gelaran pertama sebagai pemain profesional apabila tewas dalam aksi separuh akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, 18-21, 22-24, dalam pertarungan 37 minit itu.

Bekas pasangan nombor satu dunia itu mengambil keputusan untuk bergelar profesional selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 5 Jan lalu.

Dalam pada itu, Wee Kiong menyifatkan gandingan Indonesia itu mempunyai kelebihan dalam aspek ketangkasan selain mempunyai taktikal permainan baik yang sukar diatasi.

"Dalam perlawanan pantas, mereka menampilkan aksi yang baik serta teknik pukulan agak mengelirukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui mereka boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik pada saingan tersebut jika tidak melakukan banyak kesilapan.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara,Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bakal berdepan laluan getir bertemu dengan pasangan Indonesia itu di pentas final esok.

Ee Yi-Yew Sin melangkah ke final apabila terpaksa berhempas pulas selama 44 minit sebelum menewaskan beregu senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 21-6, 18-21, 21-19 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Yew Sin, bagaimanapun, mengakui lawan dari Indonesia itu adalah gandingan yang cukup mantap namun akan memberikan tentangan yang sengit bagi melakukan kejutan sebagai pemain bukan pilihan.

“Bagi saya peluang sama rata, kami akan bermain habis-habisan,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China mengambil masa 49 minit untuk menempah slot final dalam acara perseorangan lelaki apabila menundukkan pemain Denmark, Viktor Axelsen pada saingan separuh akhir.

Chen Long merakamkan kemenangan ke-12 ke atas pemain Denmark itu dalam14 pertemuan dengan kemenangan straight set 21-13, 21-18.

Chen Long, pemain ranking keempat dunia, akan berdepan dengan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho pada final.

Pemain Korea itu mendapat laluan percuma ke pentas final apabila pemain profesional negara, Liew Daren menarik diri akibat kecederaan tapak kaki kiri sebelum perlawanan separuh akhir.

Sebagai rekod, Chen Long memenangi 11 daripada 14 pertemuan dengan Son sebelum ini. - Bernama